
KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Berdaulat yang bakal berlangsung pada Sabtu ini di hadapan Kompleks Sogo akan menjadi platform aman bagi rakyat menyuarakan pelbagai isu yang selama ini dirasai namun tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kerajaan.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat berkata, himpunan itu adalah reaksi kepada pelbagai kelemahan, kecuaian dan ketidakadilan yang berlaku sepanjang lebih dua tahun pentadbiran negara.
“Termasuk kealpaan kerajaan atau kesibukan menangani isu luar negara sehingga isu dalam negara agak terpinggir dan tersisih. Kita bersabar lebih dua tahun tujuh bulan jadi rasanya sudah sampai dan wajar sebagaimana negara demokrasi.
“Rakyat terutama badan bukan kerajaan (NGO) bukan berada di Parlimen sebagaimana ahli politik atau berada dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh meluahkan pelbagai masalah, tetapi kami perlukan satu platfrom.
“Jadi kami rasakan himpunan aman yang dibenarkan oleh undang-undang negara. Kita pun telah hantar surat kepada pihak polis dan minta kerjasama yang baik dan merasakan ini adalah satu medan bukan untuk membuat kekacauan atau agresif,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel, di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali; Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman; Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa; Timbalan Pengerusi UMMAH, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff; dan UMMAH Melaka, Hisyam Shahrin.
Selain pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia); Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan; Pengamal Undang-Undang, Muhammad Rafique Rashid Ali; dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari.
Juga, Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat (GERAHA,), Nor Hakimi Abdul Halim; Presiden Negarawati Tanah Air, Bibi Sunita Sakandar Khan; Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad; dan Persatuan Darul Ehsan Sejahtera (Ehsan), Mohamed Diah Baharun.
Masridzi turut menyeru kerajaan berkonsepkan Madani supaya membuka ruang seluasnya kepada suara rakyat dan menganggap himpunan tersebut sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sah di sisi undang-undang negara.
“Ia lebih kepada nak meluahkan, jadi saya rasa sebuah kerajaan yang berkonsepkan Madani wajar mana-mana pemimpin dan pihak berkuasa mendengar luahan rakyat kerana bukan semua suara dan masalah rakyat dapat diluahkan di dalam Parlimen atau DUN yang masanya sangat terhad oleh wakil-wakil kita.
“Justeru, banyak masalah rakyat yang melanda sekarang iaitu isu keselamatan, ekonomi, tanah dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak yang terkesan sudah lama bersabar dan pelbagai bentuk bantahan telah dilakukan, namun penyatuan masih belum berlaku.
“Kita rasa momentum kepada segala masalah yang wujud yang bertebaran dalam negara kita ini sudah sampai waktunya kita satukan dan kita hebahkan secara berjemaah.
“Mudah-mudahan satu gerakan yang tersusun rapi seperti batu bata yang tersusun pada tembok yang kukuh, kita akan rasa kekuatan jemaah Islam akan bangkit dan umat Melayu Islam akan berdaulat bila Melayu bermuafakat.
“Seterusnya, Melayu mulakan dulu untuk membina kedaulatan kemudian barulah Islam akan terus berkembang dengan hebat Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











