Melayu berhimpun tuntut hak tanpa sentuh kaum lain

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyatuan dan kebangkitan semangat orang Melayu dalam menyuarakan isu hak dan agama tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman kepada kaum lain di negara ini.

- Advertisement -

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKASA sentiasa menitikberatkan tanggungjawab untuk tidak menyentuh isu-isu yang boleh menyinggung kaum dan agama lain.

“Kita hanya mempertikaikan dan bercakap tentang hak kita yang semakin banyak terhakis serta isu-isu agama yang diperlekehkan oleh sesetengah pihak.

“Itu yang lebih kita fokuskan dan kaum lain tidak perlu gusar,” katanya kepada Harakahdaily sempena sidang media Himpunan Melayu Berdaulat di sebuah hotel, di sini hari ini.

Mengulas penyertaan kaum Melayu dalam perhimpunan awam, Syed Hasan merujuk kepada perubahan komposisi peserta sejak era perhimpunan BERSIH, namun penyertaan orang Melayu merosot selepas PAS tidak lagi terlibat secara aktif.

“Dulu ketika BERSIH berhimpun setiap tahun, majoritinya orang Melayu ketika PAS terbabit. Kemudian PAS tidak terbabit, hanya tinggal 30 peratus sahaja orang Melayu.

“Di hujung-hujungnya, kita lihat dah hampir 80 peratus orang Melayu yang berhimpun bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD),” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa hak berhimpun adalah sebahagian daripada hak rakyat selagi tidak disalahgunakan untuk mencetuskan kekacauan dan provokasi.

Syed Hasan turut mengingatkan bahawa sejarah membuktikan apabila orang Melayu berkuasa, kaum lain juga menikmati kehidupan yang makmur dan peluang ekonomi tetap luas.

“Selama ini bila Melayu menguasai negara ini, kaum lain senang hidup. Macam-macam kekayaan boleh buat. Tak ada pun kita kacau atau kurangkan hak mereka, malah hak kita yang makin berkurang walaupun orang Melayu berkuasa penuh dulu,” katanya.

Justeru, beliau menyeru supaya semua pihak tidak takut dengan penyatuan orang Melayu, sebaliknya melihatnya sebagai faktor kestabilan yang boleh menguntungkan semua kaum. – HARAKAHDAILY 20/5/2025

- Advertisement -