
KUALA LUMPUR: Himpunan Melayu Berdaulat akan tetap diteruskan walaupun tarikh itu bertembung dengan Persidangan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 28 Mei.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali sebagai mengetuai sekretariat gabungan itu menegaskan, perhimpunan tersebut tidak bertujuan mengganggu agenda kerajaan.
“Saya difahamkan 23 hingga 25 Mei adalah peringkat mesyuarat pegawai-pegawai kanan mewakili negara masing-masing, dan 26 hingga 28 Mei mesyuarat sebenar ketua negara-negara ASEAN bersama dengan beberapa negara kuasa besar.
“Jadi yang pastinya yang 25 Mei itu, kebanyakan pemimpin utama yang akan tiba. Kami percaya walaupun berlaku penutupan berperingkat dari jam berapa hingga jam berapa dari 23 hingga 26 Mei, kami percaya tidak ada masalah untuk orang ramai datang ke himpunan ini.
“Jadi kita tetap teruskan program dan tiada niat untuk mengganggu agenda kerajaan yang sedang mengadakan Persidangan ASEAN. Kebetulan tarikh itu bertindih, apa pun percayalah NGO-NGO kami ini antara rakyat yang berdisiplin, tidak suka huru hara.
“(Kami) hanya ingin meluahkan kegusaran dan kegelisahan kami sebagai rakyat biasa yang melihat keadaan semasa negara yang dipimpin oleh kerajaan semakin hari semakin lama kita lihat merugikan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.
Himpunan Melayu Berdaulat yang bertemakan putih sebagaimana dijadualkan asal diumumkan sebelum ini akan tetap diteruskan pada Sabtu, 24 Mei ini jam 2:30 petang di hadapan Kompleks Sogo.
Syed Hasan anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam diadakan sebagai satu perhimpunan besar yang bertujuan menunjukkan penyatuan Melayu merentasi fahaman politik, bukan untuk menyerang mana-mana.
“Kalau ada NGO Melayu yang pro-kerajaan atau pro-pembangkang ke apa semua (mari) bersamalah. Sebab (tujuan himpunan) ini (mengangkat) isu dan kepentingan Melayu yang kita nak utarakan,” ujarnya.
Maklumnya, menerusi himpunan tersebut juga, gabungan NGO tersebut akan menyampaikan resolusinya kepada pihak kerajaan atau terus semasa perhimpunan yang diadakan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa himpunan tersebut ke arah perhimpunan lebih besar yang dijangka pada hujung tahun nanti dan mahu mengulangi seumpama Himpunan Bantah ICERD yang pernah diadakan pada tahun 2019 dahulu.
Himpunan Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diadakan dahulu mencatat sejarah sebagai himpunan mega negara ini yang mengumpulkan anggaran 3 juta orang Melayu Islam diadakan di Dataran Merdeka.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat dan Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman serta Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa dan Timbalan Pengerusi UMMAH, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff serta UMMAH Melaka, Hisyam Shahrin.
Selain itu, Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia); Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan dan pengamal undang-Undang, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Mohd Johari.
Juga Pengerusi Gabungan Gerak Rakyat (GERAHAM), Nor Hakimi Abdul Halim danPresiden Negarawati Tanah Air, Bibi Sunita Sakandar Khan serta Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Elad dan Persatuan Darul Ehsan Sejahtera (Ehsan), Mohamed Diah Baharun.
Beliau berkata, surat pemakluman kepada pihak polis telah dihantar dan diterima, dan berharap pihak berkuasa akan memberikan kerjasama penuh agar perhimpunan berlangsung dengan lancar dan aman.
“Kita mengharapkan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kami berpesan kepada semua wakil NGO supaya menguar-uarkan kepada ahli-ahli mereka supaya berdisiplin dan tidak melakukan sesuatu di luar batas undang-undang.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan digalakkan menaiki pengangkutan awam dan berkumpul di empat lokasi utama sebelum berarak ke Kompleks Sogo iaitu Masjid Jamek Kuala Lumpur.
Juga dari Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Laut (berhampiran Pejabat PAS Pusat) dan Dewan Sultan Sulaiman Kampung Baru.
“Orang ramai nak datang boleh melalui lokasi tersebut dan perlahan-lahan kita berjalan menuju ke Sogo. Selain itu, mereka yang hadir saya sarankan pakai baju warna putih yang menunjukkan semua solidariti orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/5/2025













