Tengku Mahkota Kelantan sertai Night Colour Run

Sempena Hari Belia Negara

Tengku Mahkota Kelantan (jaket putih) berjalan bersama rakyat dalam acara Night Colour Run sempena Festival Hari Belia Negara peringkat Negeri Kelantan
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menyertai acara Night Colour Run sempena Festival Hari Belia Negara peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung meriah malam tadi.

- Advertisement -

Baginda berjalan kaki sejauh 1.9 kilometer bersama lebih 1,000 peserta bermula dari Dataran Rehal menuju ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV dan tiba kira-kira pukul 9:50 malam.

Tengku Muhammad Fakhry turut berkenan menyempurnakan gimik perasmian festival tersebut pada jam 10:42 malam serta menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara kepada sembilan penerima.

Anugerah itu melibatkan tiga kategori iaitu lelaki, wanita dan organisasi, masing-masing dimenangi Muhammad Afiq Aiman Mohd Haslam, Zulfa Nazifah Azhar dan Majlis Belia Jajahan Gua Musang.

Festival selama empat hari bermula 14 Mei itu dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri sebagai penghargaan kepada golongan belia yang gigih menyumbang kepada pembangunan negara.

Antara pengisian menarik sepanjang festival ialah pameran interaktif oleh agensi kerajaan dan NGO, persembahan kesenian tradisional seperti dikir barat, kertok, rebana ubi, gendang Cina dan silat, selain acara kemuncak Night Colour Run.

Dalam acara lain, Maahad Muhammadi Lelaki muncul johan pertandingan Karnival Nasyid, manakala naib johan disandang Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat. – HARAKAHDAILY 18/5/2025

- Advertisement -