
BACHOK: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengalu-alukan kehadiran lebih ramai pelabur untuk meneroka potensi sektor pelancongan di daerah ini yang kaya dengan keindahan semula jadi dan kekuatan komuniti tempatan.
Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak swasta sangat dialu-alukan dalam usaha membangunkan pelbagai tarikan pelancongan, khususnya di sepanjang pesisiran pantai Bachok.
“Projek yang membawa limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan amatlah dialu-alukan.
“Kepada pengusaha makanan dan minuman (F&B), perhotelan serta eko-pelancongan, masih banyak lokasi berpotensi untuk dibangunkan,” ujarnya ketika meninjau tarikan pelancongan terbaru di Pantai Kemasin.
Beliau menyifatkan Kemasin Beach Resort (KBR) sebagai ‘game-changer’ yang bakal melonjakkan industri eko-pelancongan di Bachok dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Katanya, perkembangan positif seperti KBR memberi ruang lebih luas kepada pengusaha tempatan dalam bidang berkaitan dan wajar dijadikan contoh kejayaan pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau turut menyeru lebih banyak pihak tampil melabur di Bachok dan bersama-sama menjadikan daerah itu sebagai destinasi pelancongan unggul di Kelantan. – HARAKAHDAILY 18/5/2025












