ADUN tekad selesai isu perparitan di Taman Nuri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Prihatin dengan permasalahan perparitan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu di Taman Nuri, Lorong Pasir Kota, Shaari Mat Yaman tampil mengadakan pertemuan bersama penduduk bagi mencari penyelesaian tuntas.

- Advertisement -

Masalah tersebut membelenggu penduduk apabila air buangan bertakung dan melimpah ke jalan sehingga menutup laluan keluar masuk ke rumah.

Lebih merumitkan, ketiadaan sistem saliran yang sempurna menyebabkan air hujan tidak dapat dialirkan dengan baik, memaksa sebahagian penduduk membina benteng sendiri untuk menghalang air daripada memasuki rumah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong itu, isu ini telah lama dikenal pasti dan dipantau olehnya sejak tiga ke empat tahun lalu, bahkan telah dibawa ke perhatian Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

“Juga dibincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR). Namun menurut pihak JKR, pembinaan longkang dan parit besar bukan dalam bidang kuasa mereka bagi kawasan jalan kampung, sebaliknya hanya bagi jalan raya utama,” katanya.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah Ahli MPKB-BRI, Mhd Nordin Ibrahim yang bersama membincangkan perincian teknikal berkaitan penyelesaian jangka panjang.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa bertindak penduduk ialah pembinaan beberapa buah telaga takungan air pada laluan tertentu bagi menyerap lebihan air dari kawasan perumahan.

Setiap telaga dicadang dipasang sistem tapisan khas bagi menyekat kemasukan sampah, pasir dan bahan pepejal agar tidak menyebabkan sumbatan.

“Tujuannya supaya air yang mengalir masuk lebih bersih, tidak menimbulkan masalah dan mudah diselenggara dari semasa ke semasa.

“Cadangan ini dilihat praktikal serta mampu dilaksana jika mendapat kerjasama agensi berkaitan. Ia juga menambah baik sistem kawalan banjir berskala kecil dalam taman,” ujar beliau.

Shaari turut menegaskan komitmennya untuk memastikan projek ini diselaraskan dengan baik dan kerja penurapan semula jalan-jalan yang rosak akan dilaksanakan demi keselesaan penduduk. – HARAKAHDAILY 18/5/2025

- Advertisement -