SRITI cemerlang akademik, turut unggul kokurikulum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, malah turut menunjukkan pencapaian membanggakan dalam bidang kokurikulum.

- Advertisement -

Gabungan keunggulan tersebut menjadikan SRITI semakin mendapat tempat di hati masyarakat dan ibu bapa sebagai pilihan utama pendidikan anak-anak.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkembangan itu menunjukkan minat dan keyakinan positif masyarakat terhadap sistem pendidikan SRITI yang semakin berkembang.

“Hari ini kita melihat SRITI bukan sahaja cemerlang daripada sudut akademik, tetapi turut berjaya dalam bidang kokurikulum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sukan Tahunan SRITI Al Fateh Kali Ke-7 yang berlangsung di Maahad Muhammadi Perempuan.

SRITI Al Fateh yang kini beroperasi di bangunan baharu di Taman Limau Manis semakin mendapat perhatian apabila menerima kemasukan pelajar baharu, termasuk yang berpindah dari sekolah kebangsaan.

Sebelum ini, SRITI tersebut beroperasi di Jalan Long Yunus dan tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah pelajar setiap tahun.

Takiyuddin yang juga Yang Dipertua PAS Kota Bharu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak penyumbang kepada perkembangan SRITI sama ada dari segi kewangan, buah fikiran dan sokongan moral.

Beliau turut mencadangkan agar acara sukan tahunan diperbesarkan pada masa akan datang dengan menjemput penyertaan khas daripada SRITI lain bagi acara tertentu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman. – HARAKAHDAILY 18/5/2025

- Advertisement -