
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan menghadiri mesyuarat kluster pertanian bersama empat negeri Perikatan Nasional (SG4) minggu hadapan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dan mempercepat pembangunan sektor pertanian serta pelaburan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, mesyuarat tersebut melibatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertanian dari negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diterajui Perikatan Nasional (PN).
“Minggu depan kita akan mesyuarat kluster pertanian, dan bulan Julai nanti kita akan himpunkan para pelabur di Kedah bagi menarik lebih banyak pelaburan, khususnya ke negeri-negeri SG4,” ujar beliau dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Kompleks DUN Perlis di sini semalam.
Menurutnya, SG4 turut menyusun pelantikan barisan penasihat baharu bagi sektor pelaburan dan pertanian demi memastikan perancangan yang lebih tersusun, profesional dan berimpak tinggi.
Beliau berkata, antara sektor diberi tumpuan ialah mineral, termasuk sumber dolomit yang dikenal pasti wujud di Perlis walaupun setakat ini belum ada hasil secara langsung, tetapi potensi besar dalam sektor mineral sedang diteliti.
“Perlis merupakan antara empat negeri yang dikenal pasti mempunyai sumber dolomit,” katanya.
Mohd Shukri menegaskan bahawa sektor pertanian, pelaburan (mineral) merupakan teras penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang Perlis, seiring dengan aspirasi SG4.
“Gabungan sektor ini akan menjadi pemacu utama ekonomi negeri. Kita yakin dengan perancangan strategik dan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat serta sektor swasta, Perlis mampu melonjak sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk memberi sokongan terhadap inisiatif SG4 yang bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara negeri-negeri PN, tetapi juga menawarkan model pembangunan mampan yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.
“Perlis negeri kecil tetapi punya potensi besar. Jika kita fokus dan bekerjasama secara tuntas, negeri ini mampu melakar kejayaan lebih besar untuk masa depan rakyat,” katanya.– HARAKAHDAILY 15/5/2025











