
ALOR SETAR: Pengharaman penjualan rokok elektronik atau vape mendapat sokongan penuh daripada beberapa kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tegas Menteri Besar, Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelas beliau, ada sejenis dadah berharga RM10, boleh dititik ke dalam cecair yang digunakan sebagai bahan sedut vape.
“Penyalahgunaan dadah melalui vape ni lebih mudah tersebar sebab kalau tidak habis dihisap, ia dimatikan atau dipadam, malah boleh diedarkan dengan mudah.
“Kalau pengambilan ganja yang dibalut dirokok, kena hisap hingga habis, kadang-kadang bolehlah dua tiga orang. Tetapi vape ni boleh dikongsi ramai orang, penyebaran lebih meluas dan bahayanya lebih luas,” tegas beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.
Dadah yang dititik ke dalam cecair vape itu katanya, boleh dipesan melalui atas talian dengan hanya membayar RM10 setiap titik.
“Sampai ke peringkat itu, masalah ini menjadi kudis dan barah dalam masyarakat kita. Ia juga telah menjadi industri komersial yang merosakkan orang ramai, kerajaan negeri mengambil perkara ini sebagai satu perkara yang serius,” tambah beliau.
Dalam pada itu tegasnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah akan menyusul tindakan negeri lain seperti Terengganu dan Perlis yang telah mengumumkan pengharaman jualan rokok elektronik ini bermula Ogos depan.
Sungguhpun begitu sebagai Menteri Besar, beliau perlu berhati-hati agar isu yang membabitkan lesen premis judi sebelum ini, tidak berulang.
“Pengharaman jualan vape di Kedah akan dikuatkuasakan tetapi dilakukan secara berperingkat sehingga lesen peniaga tamat.
“Selepas itu lesen tidak diperbaharui. Penjualan vape di kedai runcit juga tidak akan dibenarkan,” maklumnya apabila diajukan soalan berkenaan tindakan kerajaan negeri untuk mengharamkan penjualan vape di Kedah.
Malah pada sidang media dua minggu lalu, Sanusi turut memaklumkan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria akan menyediakan kertas kerja bagi tindakan susulan ke arah mengharamkan penjualan vape di negeri itu.
Dalam pada itu, Sanusi mengharap isu lesen dan pengharaman penjualan vape akan selesai sehingga tamat 2025.
“Bermula 2026, tahun baharu dengan suasana baharu.
Vape ini salah satu jalan-jalan yang mesti ditutup untuk mengekang penyebaran penyalahgunaan dadah,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/5/2025











