Dadah: Tak guna kemajuan kalau masyarakat rosak

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah komited membenteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh di negeri ini, tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurutnya, pada mesyuarat Majlis Tindakan Membenteras Dadah (MTMT), dibentangkan senario penyalahgunaan najis terlarang itu yang ada dikategorikan bukan sebagai dadah tetapi sebagai bahan sintetik.

“Sekarang ini banyak dadah sintetik, dadah ‘chemical’ dan lain-lain pelbagai nama. Terbaru penggunaan dadah melalui pengambilan vape. Dadah sudah menjadi industri di seluruh dunia, lebih pesat di negeri atau negara membangun.

“Kita hasilkan pendapatan yang banyak dari hasil kepesatan ekonomi dan kita juga menghabiskan wang yang banyak untuk mengubati masalah yang bersabit dengan dadah,” bidasnya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Sebelum ini kata beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada mendedahkan bahawa Kedah antara negeri yang kadar penyalahgunaan dadah agak tinggi.

Malah ujarnya, pada mesyuarat MTMT semalam juga didedahkan seramai 12,000 orang daripada 2.2 juta jumlah rakyat Kedah, terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Kita ambil positif kepada perkara ini. Antara sebab kadar tinggi itu sebab berlaku tangkapan. Di tempat lain pun ramai, tetapi tak berlaku tangkapan. Jadi tidak jadi statistik, bila tangkap baru jadi angka statistik,” tambah beliau.

Beliau turut menjelaskan, antara sebab Daerah Pendang dicatatkan sebagai daerah tertinggi penyalahgunaan dadah kerana di daerah itu terdapat pusat rawatan swasta, untuk penagih dadah.

Penagih yang mendapat rawatan di situ pun katanya, dikira serta dimasukkan sebagai penyalahgunaan dadah.

“Di daerah lain pun, perkembangannya agak membimbangkan. Oleh itu kita memutuskan akan mempergiatkan langkah-langkah di peringkat negeri dan daerah, untuk membasmi penyalahgunaan dadah.

“Antaranya, langkah segera, untuk mengharamkan penjualan vape.
Sebagai salah satu medium meningkatkan penyalahgunaan dadah sintetik,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.

Industri ini juga tegasnya, telah menjadi industri komersial yang merosakkan orang ramai, oleh itu kerajaan negeri mengambil perkara ini sebagai satu perkara sangat serius.

Pada mesyuarat MTMT juga katanya, bersetuju agar langkah-langkah membenteras penyalahgunaan dadah ini di peringkat daerah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing, selain akan dibantu sepenuhnya oleh Ketua Polis Daerah (OCPD).

Kata Sanusi, sekiranya tidak diberi penekanan yang serius kepada isu ini, sejauh manapun sesebuah negara mahupun negeri melangkah dalam kemajuan dengan pembangunan ekonomi yang hebat, tetapi tidak memberi makna sekiranya masyarakat rosak.

“Saya serius sebab dadah ini mendorong kepada perlakuan jenayah. Pecah rumah, curi motosikal. Paling sedih curi getah sekerap, orang ‘motong’ himpun empat hari nak beli baju sekolah, penagih dadah kebas dan rembat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -