
MARANG: Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan menyantuni seorang pesara polis yang tular di media sosial baru-baru ini dalam satu pertemuan santai di Kampung Rhu Muda, di sini.
Pesara berkenaan, Yak Embong, sebelum ini mencuri perhatian warganet menerusi sebuah video yang dimuat naik di platform Facebook dan TikTok, sehingga menarik simpati orang ramai.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, ASP Shahrin Kamalzaman dan Inspektor Mohd Al-Hafiz Husain.
Dalam pertemuan tersebut, Mohd Sofian turut menyampaikan sumbangan kebajikan sebagai tanda prihatin dan sokongan moral daripada Ketua Polis Terengganu dan seluruh warga IPD Marang.
“Yak kini berusia 77 tahun, masih sihat, masih berjalan sendiri sebagai rutin senaman. Bukan gelandangan, bukan murung… cuma seorang wira lama yang memilih hidup sederhana dan aktif.
“Kami hadir bukan kerana beliau minta bantuan. Tapi kerana rasa tanggungiawab dan hormat pada insan yang pernah meletakkan nyawanya demi tanah air.
“Sumbangan kecil kami hanyalah tanda terima kasih yang tak seberapa,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi Polis Daerah Marang.
Menurut beliau, pihak IPD melalui Cawangan Kebajikan dan Persatuan Pesara Polis akan terus meneliti sebarang keperluan lanjut serta menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Yak tular berpakaian lusuh berjalan kaki di sekitar Kelulut, Marang – HARAKAHDAILY 15/5/2025











