Detik bersejarah had umur belia turun ke 30 tahun

Hari Belia Negara

- Advertisement -

ISTILAH belia cukup sinonim dengan golongan kaum muda yang penuh idealism, semangat dan keyakinan yang tinggi. Belia merupakan aset penting bagi sesebuah negara, menjadi prospek pelapis kepimpinan dalam menongkah arus pemodenan negara pada masa hadapan.

- Advertisement -

Dalam konteks Malaysia, Hari Belia Negara (HBN) disambut setiap tahun pada tanggal 15 Mei. Ia merupakan satu tarikh keramat buat golongan belia, sebagaimana diiktiraf oleh kerajaan terhadap peranan serta sumbangan belia dalam agenda pembangunan negara.

Melihat dari perspektif sejarah, pergerakan belia di tanah air ini sebenarnya sudah bermula pada akhir tahun 1940-an. Telah berlangsungnya pertemuan seramai 75 orang wakil-wakil pertubuhan di Victoria Institution yang membuka laluan kepada penubuhan Majlis Belia Malaya kini nama rasminya Majlis Belia Malaysia (MBM).

Ekoran dari penubuhan Jawatankuasa Khas Sementara Belia ini, Abdul Razak Hussein (Tun) dan Tuanku Ja’afar Ibni Tuanku Abdul Rahman telah mewakili Tanah Melayu di Persidangan Perhimpunan Belia Sedunia (World Assembly of Youth-WAY) di Brussels, Belgium.

Bermula dari situlah, WAY telah mengiktiraf Majlis Belia Malaysia (sementara) sebagai Jawatankuasa Kebangsaan baginya di Tanah Melayu.

Setelah melalui transisi sejarah yang begitu panjang daripada sebelum kemerdekaan, pasca merdeka, era pemangkin pembangunan sekitar tahun 1970 dan era ejen perpaduan sekitar tahun 1990. Kemudian beralih ke fasa menuju alaf baru tahun 2000. Sehingga sekarang selepas tahun 2020, pergerakan belia sedang dalam proses meniti transisi.

Pergerakan belia turut melalui proses transformasi apabila Akta 668 mensyaratkan pemimpin belia berumur 15-40 tahun. Kemudiannya, pada tahun 2018 Dasar Belia Malaysia kini memberi penumpuan pembangunan belia berusia di bawah 30 tahun.

Dasar ini telah diperkenalkan kerana jumlah belia adalah separuh daripada jumlah penduduk di negara ini. Selain itu, dasar tersebut juga diwujudkan bagi memberi garis panduan untuk menyusun serta mengendalikan rancangan-rancangan kelompok belia.

Bermulanya sejarah baharu!

Pada tahun 2019 yang lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 telah diluluskan di parlimen yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Kerajaan juga sudah menetapkan tarikh berkuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] bermula pada 1 Januari 2026.

Jadi dalam erti kata lain, tahun 2025 ini merupakan saki baki masa yang ada sebelum Akta tersebut dikuatkuasakan menjelang tahun hadapan.

Hal ini bermakna, pindaan ini membabitkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 sehingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.

Bermula tahun 2026 hadapan, Belia Malaysia sudah tentu bakal mempunyai ‘branding’ baharu susulan pindaan akta had umur terbabit.

Perkara ini juga merupakan sebuah perkembangan baharu terhadap pembangunan belia di Malaysia. Secara langsung membawa impak yang besar dari aspek pembangunan bakat muda, seterusnya memberi kesan ketara terhadap landskap kepimpinan politik tanah air.

MUHAMMAD ASYRAF ANOR
Belia Kedah
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia – HARAKAHDAILY 15/5/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -