
KANGAR: Pembangunan modal insan dan penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjadi faktor utama dalam memastikan pasaran buruh yang cekap dan inklusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negeri Perlis secara mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, selaras dengan keperluan industri yang kian dinamik, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras dalam membangunkan bakat masa hadapan.
“Pelaksanaan dasar ini sangat signifikan bagi Perlis yang sedang menyaksikan perkembangan pesat sektor perindustrian dan logistik. Antara projek strategik termasuk Kawasan Pembangunan Lembah Chuping (CVIA), pembukaan kilang Jabil Circuit Sdn Bhd yang dirasmikan pada 7 April lalu, sasaran pengoperasian Perlis Inland Port (PIP) tahun ini, serta pembinaan dan pengoperasian Pelabuhan Sanglang dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya semasa menjawab soalan lisan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Tambah beliau, semua projek itu memerlukan sokongan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan, automasi teknologi, pengurusan rantaian bekalan, logistik dan tenaga boleh baharu.
Sehubungan itu, kerajaan negeri memperkasa institusi latihan seperti Kolej Vokasional Kangar dan Arau, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, Pusat GiatMARA serta institusi pendidikan tinggi awam dan swasta bagi menawarkan program-program latihan yang relevan.
“Kerjasama strategik juga dijalinkan antara institusi latihan dan pihak industri bagi memastikan kurikulum, latihan praktikal dan penempatan pekerjaan diselaraskan dengan kehendak sebenar di lapangan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











