Perlis berhasrat jenama semula Pesta Angin Timur

Abu Bakar Hamzah
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis berhasrat menjenamakan semula Pesta Angin Timur (PAT), sebuah acara warisan yang telah menjangkau lebih 10 tahun penganjuran, sebagai usaha memperkukuh kedudukannya sebagai ikon pelancongan negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, penjenamaan dan penstrukturan semula ini akan mengambil pendekatan baharu yang lebih inklusif, dinamik dan berteraskan identiti Perlis bagi memberi impak ekonomi dan sosial yang lebih menyeluruh.

“Antara strategi utama ialah mengenal pasti tapak tetap yang sesuai dan mesra untuk acara berskala besar, seperti konsep Tapak Pesta Pulau Pinang dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Menurutnya, tarikh penganjuran PAT juga akan ditetapkan lebih awal dan diselaraskan dalam kalendar acara tahunan yang dijangka dilancarkan setiap Disember bagi memudahkan perancangan dan promosi.

Dalam usaha memberi nafas baharu kepada PAT, ujarnya lagi, pengisian program akan dikekalkan dalam kerangka asal seperti warisan, seni, budaya dan agro, namun diperkaya dengan pendekatan lebih segar dan relevan.

“Kita akan jalankan kajian terperinci dengan kerjasama institusi tempatan seperti Politeknik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kepakaran akademik dan industri ini penting dalam membangunkan pengurusan acara yang mampan,” jelasnya.

Selain itu, katanya, promosi juga akan diperluas dengan penglibatan ejen pelancongan dari dalam dan luar negara, termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand, China dan India, melalui pakej khas sempena PAT.

“Setakat ini kita hanya sediakan program ‘fun trip’ untuk ejen dan media tempatan, tetapi selepas ini kita akan lebarkan ke luar negara dengan sokongan Tourism Malaysia,” tambahnya.

Dalam menyokong penjenamaan semula, pihaknya akan turut melibatkan rekaan logo, slogan, bahan grafik serta strategi pemasaran yang lebih moden dan berkesan.

Pada masa sama, beliau menyeru agar anak jati Perlis, termasuk yang berada di luar negeri, turut memainkan peranan dalam menghidupkan semula pesta ini sebagai lambang kebanggaan bersama. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -