Sasar pembangunan komersil, perhotelan sekitar TPAB

Izizam Ibrahim
- Advertisement -

KANGAR: Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (TPAB) atau lebih dikenali sebagai Perlis Sentral (Kangar Sentral) kini telah mula beroperasi sepenuhnya pada 24 Mac lalu, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur negeri, Izizam Ibrahim, terminal itu yang dibangunkan di atas tanah seluas 5.41 ekar daripada keseluruhan 33.622 ekar kawasan TPAB, kini dikendalikan oleh Syarikat The Combined Bus Services Sdn Bhd (Perak Transit).

Katanya, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai taraf Terminal Gred A.

“Rentetan daripada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari 2024 dan disahkan pada 13 Mac 2024, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan dan mengoperasikan terminal ini,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Tambah beliau, MPK juga telah mengeluarkan iklan tawaran Request For Proposal (RFP) pada 31 Julai 2024 untuk membolehkan terminal ini beroperasi dengan penglibatan sektor swasta.

Dalam pada itu, ujar Izizam kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan baki kawasan TPAB, khususnya untuk pembangunan komersil dan perhotelan melalui pelaksanaan RFP.

“Cadangan ini turut merangkumi kemungkinan menjadikan kawasan tersebut sebagai lokasi tetap bagi acara tahunan Pesta Angin Timur (PAT), menjadikan Pesta Pulau Pinang sebagai penanda aras,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak Lembaga Pembangunan Wilayah Utara (NCER) akan melaksanakan penambahbaikan fasa kedua di kawasan berkenaan, namun sehingga kini MPKangar masih belum dimaklumkan secara terperinci berkenaan pelaksanaannya.

Izizam berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan oleh Megat Hashirat Hassan (PN–Pauh) berhubung status operasi Perlis Sentral serta perancangan pembangunan di sekitarnya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -