PASTI: 40 tahun PAS julang pendidikan Islam

- Advertisement -

TANGGA BATU: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang telah beroperasi hampir 40 tahun di Parlimen Tangga Batu menjadi bukti nyata sumbangan PAS dalam pembangunan pendidikan Islam di kawasan itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, walaupun PAS sering berhadapan dengan cabaran sebagai parti pembangkang, usaha mereka dalam bidang pendidikan tetap berterusan.

“Ada pihak yang mempertikaikan seolah-olah PAS tidak menyumbang kepada masyarakat Tangga Batu, walhal, PAS telah menyediakan institusi pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak hingga sekolah menengah,” katanya.

Beliau berucap di Majlis Iftar Tarbawi Nabawi Badar Al Kubra dan Penyerahan Sumbangan di Sekolah Rendah Islam An-Nuriah, Sungai Udang, pada Sabtu kelmarin.

Jelasnya, PASTI telah melahirkan ribuan pelajar sejak penubuhannya, membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan yang ditawarkan PAS.

“PASTI telah beroperasi hampir 40 tahun dan terus berkembang. Tahun ini sahaja, hampir 1,200 anak-anak belajar di PASTI dan 200 murid di SRITI,” tambahnya.

Majlis tersebut turut meraikan 116 guru dari 20 PASTI, 18 guru SRITI, 20 guru SRI An-Nuriah, serta 10 ahli Jabatan Amal sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam mendidik generasi muda.

Bakri mengucapkan penghargaan kepada Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Muhamad Rajab Akmal Abdul Halim atas kejayaan menjayakan program ini.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan guru-guru yang sanggup berkhidmat demi mendidik umat,” ujar Bakri.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Mahfuz Roslan, yang menyampaikan Ceramah Ramadan Badar Al Kubra.

Serta Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh, bersama Setiausaha Kerja PASTI Negeri Melaka, Ustaz Anas Abdullah.

Menurut Bakri, PAS akan terus memainkan peranan dalam mendidik masyarakat dan memastikan pendidikan Islam terus berkembang di Tangga Batu. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -