Jangan cemari iftar Ramadan dengan tinggalkan sampah

Pengurusan di masjid itu menyeru agar orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan dan membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan selepas berbuka puasa. (FOTO: Masjid Negeri Masjid Zahir, Kedah Darul Aman)
- Advertisement -

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menasihati orang ramai supaya menjaga kebersihan di kawasan awam, khususnya di masjid semasa berbuka puasa.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia, turut menzahirkan rasa kecewa kerana masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan mengenai kebersihan walaupun pengumuman dibuat berulang kali.

“Astaghfirullahalazim. Saya mohon sungguh-sungguh, pakat-pakat kita jaga kebersihan di mana sahaja kita berada, sama ada di dataran atau di padang lebih-lebih lagi di kawasan masjid. Sebelum ini pun dah ada teguran dari Datuk Bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat banyak sampah bertaburan yang ditinggalkan pengunjung selepas berbuka puasa di sekitar Masjid Zahir, di sini, meskipun peringatan mengenai kebersihan telah dibuat berulang kali secara langsung mahupun di platform Facebook masjid itu.

Menurut beliau, pihak pengurusan Masjid Negeri itu juga telah menyediakan ruang khas bagi orang ramai berbuka puasa bersama keluarga, namun tanggungjawab menjaga kebersihan perlu dipikul oleh setiap individu.

“Pihak pengurusan dah buka ruang untuk kita gunakan ruang untuk iftar bersama keluarga. Maka, pakat-pakatlah jaga kebersihan. Mudah saja, juadah bawa sendiri dan sampah pun buang sendiri.

“Sebenarnya tak perlu pun petugas kebersihan. Masing-masing ada tanggungjawab. Lepas iftar, kita semua boleh solat dan beribadah dengan tenang dan selesa,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar sesiapa yang melihat sampah ditinggalkan oleh orang lain supaya menegur mereka secara berhemah.

“Lepas ini boleh tengok sekeliling, yang terlupa kutip tu pakat-pakat tegur,” katanya.

Selain itu, Afnan turut berkongsi satu kenyataan dari Facebook Masjid Negeri Masjid Zahir, Kedah Darul Aman yang turut mengutarakan isu yang sama.

“Nak kata tak pesan, hari-hari pesan. Hari-hari ada pengumuman. Sebelum berbuka, semasa dan selepas berbuka. Tu pun ramai lagi yang tak dengar. Sedih kadang itu.

“Lepas ini, pakat-pakat tolong jaga masjid kita, bukan masjid saja, di mana-mana tempat kita berbuka, jagalah kebersihan. Masukkan sampah dalam tong sampah yang disediakan pengurusan Masjid Negeri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pentadbiran Masjid Zahir terpaksa turun padang untuk membersihkan kawasan padang masjid yang dipenuhi sampah selepas berbuka. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -