Pembangunan: PAS Sabah gesa pusat tidak lepas tangan  

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

SANDAKAN: Malaysia dibentuk pada tahun 1963, ertinya negeri Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia, kata Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.

- Advertisement -

Katanya, ini bermakna kerajaan pusat mempunyai satu tanggungjawab besar untuk membangunkan semua negeri bukan sahaja negeri-negeri yang ada di Semenanjung.

Menurutnya, tetapi malang Sabah sering dijadikan anak tiri dalam soal pembangunan.

“Sebagaimana kita melihat pemerintahan terdahulu, walaupun ada pembangunan dibuat tetapi ia bukanlah perubahan yang mencapai tahap maksimum untuk kepentingan rakyat.

“Dan yang menjadi isu utamanya adalah jaringan jalan raya di Sabah,” katanya kepada Harakahdaily di sini.

Tambahnya, sehubungan itu, PAS Sabah menggesa agar kerajaan pusat tidak lepas tangan dalam isu pembangunan infrastruktur malah mengutamakan pembangunan di negeri ini termasuk Sarawak.

“Sesiapapun yang memerintah sebagai kerajaan harus mengutamakan pembangunan sesebuah negeri dari segi infrastruktur,” ujarnya lagi.

Tambahnya, komitmen yang bersungguh-sungguh di peringkat pusat harus direalisasikan agar isu itu tidak berterusan.

Selain itu, katanya soal ketelusan dan integriti juga perlu diambil kira.

Ini, ujarnya kerana walaupun mempunyai dana yang cukup untuk pembangunan di Sabah, namun jika tidak diurus secara telus akan mengakibatkan berlaku ketirisan.

Beliau menambah, ini menjadikan Sabah tidak boleh dibanggakan dari sudut pembangunan infrastruktur yang sedia ada.

Oleh itu, ujarnya PAS negeri menggesa agar kerajaan pusat perlu serius membantu Sabah dengan dana dan kewajipan lain.

Selain itu, katanya kerajaan negeri sendiri perlu bersedia untuk menambah baik sistem dan pengurusan dalam membina negeri ini. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -