
DALAM dunia yang semakin moden dan serba canggih, kecekalan seorang warga emas di Kampung Abi Padang Machang, Kangar menjadi inspirasi ramai apabila masih gigih bekerja keras meskipun usianya sudah menjangkau 75 tahun.
Aishah Isa, ibu kepada tiga anak, bukan sekadar menjalankan rutin harian biasa, tetapi turut mengambil upah memotong rumput sejak 30 tahun lalu.
Berbekalkan mesin rumput yang digalasnya, beliau bekerja di bawah terik mentari, termasuk di bulan Ramadan, tanpa rasa gentar atau mengeluh kepenatan.
“Selagi ada kudrat, saya akan terus bekerja. Saya sudah biasa dengan kerja ini sejak dulu lagi, dan alhamdulillah rezeki saya tak pernah putus,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, kelmarin.
Bagi sesetengah orang, pekerjaan ini mungkin dianggap berat dan lebih sesuai untuk lelaki, namun bagi Aishah, keikhlasan dan kesungguhannya dalam mencari rezeki yang halal lebih utama.


Dia juga pernah mengalami kecederaan serius akibat terkena besi ketika bekerja, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya.
Kini, anak bongsunya, Suhana Kasa, 38, turut membantu dalam kerja-kerja memotong rumput di kawasan bendang, kebun, tanah perkuburan dan rumah penduduk kampung.
Dengan bayaran antara RM50 hingga RM200 bergantung pada keluasan kawasan, Aishah tetap komited meneruskan pekerjaannya.
Penduduk sekitar mengenalinya sebagai ‘wanita besi’ kerana ketabahannya yang luar biasa.
Kisahnya bukan sekadar cerita seorang pemotong rumput, tetapi simbol kekuatan dan ketahanan wanita dalam menghadapi kehidupan. – HARAKAHDAILY 15/3/2025












