
SAYA menolak sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri yang menuduh pihak yang menentang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) mempunyai agenda untuk memastikan orang Melayu terus miskin dan berpendidikan rendah. Tuduhan ini tidak berasas dan bertujuan mengalihkan perhatian daripada kelemahan ketara dalam cadangan akta tersebut.
Kebimbangan terhadap URA bukan kerana menolak pembangunan tetapi kerana ia membuka ruang kepada pengambilan tanah secara paksa atas nama pembangunan yang akhirnya lebih menguntungkan pihak berkepentingan berbanding rakyat. Dengan syarat persetujuan 80 peratus bagi hartanah berusia 30 tahun dan 75 peratus bagi hartanah lebih 30 tahun walaupun 20 peratus atau 25 peratus pemilik membantah, mereka tetap boleh kehilangan hak milik mereka.
Keadaan ini jelas bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan boleh membawa kepada pemindahan secara paksa pemilik asal khususnya golongan Bumiputera yang menghuni kawasan perumahan kos rendah dan setinggan di bandar. Jika URA diteruskan, ia boleh mengubah komposisi penduduk bandar dan menjejaskan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi bandar. Sejak era Tun Abdul Razak, dasar pembangunan dirangka untuk mengukuhkan kedudukan Bumiputera dalam ekonomi bandar tetapi URA berisiko menggagalkan usaha ini dengan menyingkirkan mereka akibat pembangunan yang tidak mengambil kira kemampuan pemilik asal untuk terus tinggal di kawasan tersebut.
Lebih membimbangkan, URA boleh menyebabkan pemilik asal tidak mampu membeli atau menyewa unit baharu yang dibina di lokasi asal seterusnya memaksa mereka berpindah ke pinggir bandar atau luar bandar di mana peluang ekonomi lebih terhad dan akses kepada infrastruktur moden lebih sukar. Keadaan ini akan mempercepatkan jurang sosioekonomi dan melemahkan pegangan hartanah Bumiputera di bandar.
Justeru, saya menggesa kerajaan agar tidak menyalahkan rakyat yang menyuarakan kebimbangan terhadap URA sebaliknya mendengar pandangan mereka dan memperbetulkan dasar ini. Saya juga mendesak kerajaan supaya menarik balik cadangan URA dan merangka dasar pembaharuan bandar yang lebih adil, telus dan inklusif. Pembangunan bandar mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan hak pemilikan rakyat serta tanpa mengorbankan keseimbangan sosioekonomi yang telah lama diperjuangkan.
YB DATUK HAJI AHMAD AMZAD MOHAMED @ HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
15 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 15/3/2025











