Sumbangan baju raya ringan beban keluarga asnaf

- Advertisement -

ARAU: Seramai 30 pelajar asnaf dan keluarga berpendapatan rendah di Simpang Empat menerima sumbangan pakaian baharu menjelang Aidilfitri menerusi program Ceria Raya Bersama Jakel.

- Advertisement -

Program anjuran Jakel Alor Setar dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Simpang Empat itu telah berlangsung di Jakel Cawangan Alor Setar, Kedah pada 12 Mac baru-baru ini.

Program ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa, tetapi turut memberi pengalaman istimewa kepada para pelajar yang dibawa menaiki bas ke Jakel Alor Setar untuk memilih pakaian sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad, menyatakan rasa syukurnya atas sumbangan ini yang dapat membantu golongan memerlukan iaitu kalangan asnaf.

“Kita amat menghargai usaha pihak Jakel Alor Setar yang sudi berkongsi rezeki dengan anak-anak asnaf di kawasan ini.

“Insya-Allah, dengan adanya bantuan seperti ini, ibu bapa dapat mengurangkan beban kewangan mereka, dan anak-anak dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perlis turut berharap agar program kebajikan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Saya berharap lebih banyak syarikat tampil menghulurkan bantuan seperti ini. Selain memberi keceriaan kepada penerima, ia juga menjadi satu bentuk motivasi buat mereka untuk terus berusaha dalam pelajaran dan mencapai kejayaan,” ujarnya lagi.

Sumbangan pakaian raya ini melibatkan 30 pasang baju, dengan 18 pasang untuk pelajar lelaki dan 12 pasang untuk pelajar perempuan.

Penerima terdiri daripada pelajar dari sembilan sekolah, iaitu tiga sekolah menengah dan enam sekolah rendah. – HARAKAHDAILY 15/3/2025

- Advertisement -