Seramai 173 kontraktor sertai cabutan undi kerja

Untuk penyelenggaraan lampu jalan di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 69 senarai kerja penyelenggaraan melibatkan pelbagai kategori diumumkan dalam satu majlis cabutan undi kerja yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Saizol Ismail memberitahu, daripada jumlah itu, 63 senarai kerja melibatkan penyelenggaraan lampu jalan Persekutuan dan Negeri.

Juga katanya, dua kerja penyelenggaraan lampu isyarat, tiga kerja penyelenggaraan bangunan sekolah serta satu kerja penyelenggaraan bangunan di Kompleks Kota Darulnaim.

Katanya, dari 63 senarai kerja itu, 11 daripadanya akan dilaksanakan sebelum Aidilfitri dan selebihnya selepas Aidilfitri ini.

Menurutnya, kesemua senarai kerja ini adalah di bawah peruntukan Program Pemasangan Lampu Jalan Di Kawasan Kemalangan dan Kawasan Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap.

Juga maklumnya, di bawah Program Penswastaan Penyelenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat Di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Tambahnya, ia juga di bawah Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (KAPJN) dengan kos keseluruhan berjumlah RM6.585 juta.

“Majlis cabutan undi kerja ini turut berjaya menarik penyertaan sebanyak 185 kontraktor elektrik, satu peningkatan berbanding 149 kontraktor pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya 178 kontraktor layak menyertai cabutan setelah tujuh penyertaan ditolak atas sebab tidak memenuhi syarat seperti lesen CIDB tamat tempoh dan tiada pengkhususan bidang yang diperlukan,” kata beliau.

Saizol berkata demikian ketika berucap pada majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan yang diadakan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya, matlamat utama majlis ini ialah untuk memastikan pelaksanaan projek kerajaan dibuat secara telus melalui kaedah kerja ‘requisition’ secara undian.

Kaedah ini ujar Saizol, diperkenalkan kerajaan bagi mempercepat dan memperkemas proses perolehan kerja kerajaan.

Beliau turut berharap kontraktor elektrik yang terpilih dapat melaksanakan amanah kerja dengan sempurna dan tidak memindahkan kerja kepada pihak ketiga.

“Kerja-kerja yang dijalankan nanti bukan sekadar menjana pendapatan, bahkan satu bentuk sumbangan kepada negeri tercinta. Lampu jalan yang berfungsi dengan baik dapat memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terjamin,” ujarnya lagi.

Tambahnya, peruntukan besar yang disediakan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar jalan-jalan di Kelantan terus diterangi cahaya.

“JKR Kelantan, khususnya JKR Elektrik perlu membuat pemantauan ketat dan tidak teragak-agak mengeluarkan amaran atau menyenarai hitam kontraktor yang gagal melaksanakan kerja dengan baik,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2025

- Advertisement -