
KUALA LUMPUR: Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik), mencadangkan agar kerajaan menambah sokongan pemantau hidupan liar dengan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Malaysian Conservation Alliance of Tigers (MYCAT) dan World Wildlife for Nature (WWF).
Menurut beliau, usaha kementerian dalam melaksanakan program renjer komuniti wajar dipuji, namun peranan NGO juga perlu diperkukuhkan dengan menempatkan pejabat operasi mereka di kawasan hutan simpan utama.
“Adakah pihak kementerian ada cadangan untuk kita tambah kekuatan NGO seperti pemantau hidupan liar seperti MYCAT dan juga WWF untuk kita buka pejabat operasinya dan kita letakkan di tempat-tempat di kawasan-kawasan hutan simpan seperti contohnya di tempat saya di Gerik, di Taman Royal Belum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemantauan dan perlindungan hidupan liar di kawasan hutan simpan penting bagi menangani ancaman pemburuan haram serta pemuliharaan biodiversiti negara.
“Adakah kerajaan cadang untuk bantu NGO-NGO tersebut buka di tempat tersebut.
“Kita nak tanya juga apakah bentuk bantuan yang kerajaan beri selama ni kepada NGO macam MYCAT dan WWF ni?” soalnya.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kerajaan sememangnya bekerjasama dengan NGO dan telah melaksanakan beberapa inisiatif pemeliharaan hidupan liar.
Katanya, antara kolaborasi yang telah dijalankan termasuklah Kajian Harimau Kebangsaan dari 2016 hingga 2020 bersama WWF dan Wildlife Conservation Society (WCS) Malaysia serta pemantauan spesies terancam di Banjaran Titiwangsa sejak 2021.
Dalam soalan asal Fathul meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan langkah proaktif yang diambil oleh Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya termasuk kajian penyelidikan saintifik ke atas populasinya. Adakah Kementerian bercadang menyediakan dana khas bagi meningkatkan kawalan terhadap sindiket pemburuan haram. – HARAKAHDAILY 4/3/2025











