MB puji bekas wakil rakyat istiqamah bersama PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas wakil rakyat PAS Kelantan dipuji kerana istiqamah mendokong parti itu walaupun tidak terpilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 membabitkan enam buah negeri termasuk Kelantan.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nasssuruddin Daud berkata, bagi mencapai kekuatan tersebut memerlukan tempoh yang lama walaupun terpaksa melalui ranjau.

Malah kata beliau, rakyat perlu menyedari bahawa pendekatan PAS menerapkan agenda jihad dalam pilihan raya menepati konteks Malaysia yang mengamalkan konsep demokrasi bagi memilih pemerintah.

“Jihad melalui pilihan raya pun nak boleh faham itu makan masa lama, itu pun lari ke lain, ya lah bukan sahaja rakyat di bawah, kadang-kadang pimpinan dan bekas wakil rakyat pun ada yang lari.

“Jadi nak kata ke orang bawah berat-berat pun tak boleh juga, puak demo pun berat juga, alhamdulillah hari ni bekas wakil rakyat ada dua tiga orang mari, masih istiqamah alhamdulillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah ringkas pada sesi Tazkirah Zohor Ramadan PAS Kelantan yang diadakan di Dewan Solat Surau Dato’ Zulkifli Muhammad di sini semalam.

Kelihatan hadir pada majlis tersebut bekas wakil rakyat negeri Kelantan termasuk mantan ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim; ADUN Apam Putra, Abdul Rasul Mohamed dan ramai lagi.

Mohd Nassuruddin yang juga Menteri Besar Kelantan turut menukilkan kisah ‘asbab nuzul’ atau sebab turun ayat al Quran surah al Qadr mengenai cerita seorang lelaki berjihad semalam 1,000 bulan.

Beliau berkata, umat Nabi Muhammad dikurniakan umur antara 60 sehingga 70 tahun, tidak mampu menandingi umur dan kehebatan golongan terdahulu berjuang mempertahankan kesucian agama Islam.

Menurutnya lelaki tersebut dari kalangan kaum Bani Israel dikenali Sam’un al Ghazi yang berjihad sehingga usia lebih kurang 83 tahun menentang kemungkaran dilakukan oleh kaumnya. –  HARAKAHDAILY 4/3/2025

- Advertisement -