Sungai tercemar tidak terkawal punca gangguan bekalan air

Dato' Abdul Khalib Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pencemaran sungai yang tidak terkawal terus menjadi punca utama gangguan bekalan air bagi kegunaan rakyat dan industri di negara ini.

- Advertisement -

Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, meskipun kerajaan telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (Air 2040) untuk menjadikan Malaysia sebagai hub utama sektor air serantau, pencemaran sungai masih belum ditangani secara berkesan.

“Bagaimanakah kerajaan bercadang untuk mengukuhkan kawalan terhadap pencemaran dan keberkesanan pengurusan sumber air bagi memastikan keselamatan dan kemampanan air menjadikan air sebagai peluang ekonomi dan ke arah merealisasikan?

“Selain itu, bagaimanakah bentuk kerjasama dan sokongan daripada semua pihak untuk memastikan perlaksanaan Air 2040 ini berjaya kerana saya berpandangan isu ini perlu melibatkan semua pihak berkepentingan dan bukan dari kerajaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mengakui bahawa pencemaran sungai memberi kesan langsung terhadap bekalan air, namun isu itu melibatkan pelbagai agensi.

“Kita kena lihat pendekatan yang lebih holistik kerana di peringkat kementerian ia lebih tertumpu kepada soal memastikan bekalan air yang stabil dan berterusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025

- Advertisement -