URA: ‘Apa muslihat kamu sebenarnya’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan DAP yang dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan Rang Undang-Undang Pembaruan Semula Bandar (URA), selain isu kontroversi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibangkitkan sebelum ini, menjadi persoalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

- Advertisement -

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kebimbangan yang disuarakan bukan hanya datang daripada PAS, Bersatu atau Perikatan Nasional (PN), tetapi mewakili suara rakyat yang menghantar memorandum untuk dibawa ke Parlimen.

“Apa yang kami bangkitkan bukan suara parti politik PAS, Bersatu, Perikatan Nasional semata-mata. Tapi kami mewakili suara rakyat di bawah yang menghantar memorandum untuk kami bangkitkan dalam Parlimen. Kebimbangan mereka itu nyata,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)

Tegasnya, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, tidak seharusnya mempolitikkan isu ini dengan menuduh PAS dan Bersatu memainkan sentimen perkauman.

“DAP tak perlu politikkan hal ini dengan menuduh konon-konon PAS, Bersatu membawa isu-isu perkauman melibatkan rang undang-undang ini. Kebimbangan itu memang ada,” tegasnya.

Wan Ahmad Fayhsal juga menyatakan bahawa PN terbuka untuk berbincang dengan kerajaan bagi memperbaiki rang undang-undang tersebut.

“Jelas tadi Yang Berhormat Kuala Terengganu menyatakan kebersediaan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk ‘engage’ bersama dengan pihak kerajaan untuk memperbetulkan rang undang-undang ini.

“Kalau tidak dibuat sedemikian, saya yakin rakyat kebanyakan akan bangkit dan buat penolakan besar-besaran di jalan raya tak lama lagi,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran bahawa isu ini boleh mencetuskan bantahan lebih besar berbanding

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jika kerajaan terus berdegil.

“Kalau kamu takut dengan ICERD dahulu, ingat isu ini boleh jadi lebih besar pada ICERD. Pengalaman orang-orang Melayu khususnya, orang-orang miskin bandar di kalangan kaum India dan Cina yang terkesan akibat projek pembangunan yang tidak terkawal,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu berlaku adil kepada semua pemilik strata dan tidak hanya mengutamakan pihak pemaju serta golongan kaya.

“Apa muslihat kamu sebenarnya? Apa yang kamu telah buat perjanjian, kerjasama, perbincangan dengan pemaju? Sama ada ia benar-benar menguntungkan rakyat atau sebenarnya satu helah yang boleh merugikan pelbagai pihak,” katanya lagi.

Beliau memberi amaran bahawa rakyat tidak akan berdiam diri sekiranya kerajaan tetap mahu meneruskan rang undang-undang ini tanpa perbincangan teliti.

“Kalau tidak, saya bagi amaran sekali lagi. Kita akan bersama rakyat turun ke jalanan membantah rang undang-undang ini sepertimana kita bantah ICERD dahulu,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

- Advertisement -