
TUMPAT: Khidmat Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS bukan sahaja masih diperlukan oleh parti itu sahaja, sebaliknya seluruh dunia Islam masih mengharapkan beliau.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS, Mohd Asri Mat Daud berkata, ramai ulama dari luar negara turut mengambil pandangan Tuan Guru khususnya dalam isu-isu berkaitan geopolitik antarabangsa seperti Palestin, permuafakatan umat Islam seluruh dunia dan seumpamanya.
“Tuan Guru bukan Perdana Menteri, tetapi pandangannya diterima oleh dunia Islam. Jadi survival beliau masih jauh dan masih diperlukan untuk memimpin sebuah gerakan Islam di peringkat dunia, termasuk PAS.
“Tambahan pula PAS kini sudah mempunyai harapan untuk memegang tampuk kepemimpinan negara,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Perakuan Halal Malaysia Kepada Usahawan Nasi Berlauk Kak Chik di Kampung Berangan, di sini hari ini.
Menurut Asri, tidak timbul sebarang isu yang mencadangkan Abdul Hadi berundur dari jawatannya sebagai Presiden PAS pada pemilihan parti akan datang.
Beliau tidak menolak cadangan atau usul supaya Tuan Guru berundur adalah suara dari luar, namun ia hanya satu naratif yang dimainkan setiap kali tiba pemilihan parti.
Beliau memberitahu, perkara itu tidak pernah dibangkitkan pada mana-mana mesyuarat sekalipun, termasuk di peringkat cawangan.
Sebelum ini penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, PAS memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa depan khususnya memenangi PRU16.
Perbicaraan sama turut dibincangkan beberapa tokoh akademik yang cenderung Pakatan Harapan (PH), namun suara kepimpinan dan ahli-ahli PAS didengari teguh mahukan Tuan Guru terus memimpin PAS. – HARAKAHDAILY 25/2/2025











