Pendekkan tempoh latihan HO bagi elak tekanan

Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk memendekkan tempoh latihan Pegawai Perubatan Siswazah (HO) daripada dua tahun kepada satu tahun adalah langkah tepat bagi mengurangkan beban tugas mereka.

- Advertisement -

Ia juga dapat menangani tekanan emosi dalam kalangan pegawai perubatan pelatih, tanpa menjejaskan keupayaan mereka apabila dilantik sebagai Pegawai Perubatan (MO).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyokong cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bagi memastikan HO tidak terbeban dengan tempoh latihan panjang, namun tetap menerima bimbingan mencukupi.

“Kerajaan perlu memastikan sistem latihan dan pemantauan yang lebih tersusun dengan bimbingan daripada pakar serta MO yang berpengalaman bagi melahirkan MO junior yang kompeten.

“Selain itu, jumlah hospital berpakar untuk latihan HO perlu ditambah, termasuk hospital daerah berpakar bagi memastikan latihan yang lebih menyeluruh dan berkualiti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, perjawatan tetap harus diberikan kepada MO sejurus tamat latihan HO tanpa perlu melalui tempoh kontrak bagi meningkatkan kestabilan kerjaya.

“Ini akan membolehkan MO lebih bersedia untuk berkhidmat di kawasan pedalaman pada peringkat awal perkhidmatan,” katanya.

Oleh demikian, beliau menggesa kerajaan menyediakan peluang untuk latihan kepakaran pada peringkat awal perkhidmatan dengan kadar yang munasabah bagi memastikan pembangunan profesionalisme MO dapat berjalan dengan lebih lancar.

Terdahulu, Ahmad Yunus membangkitkan isu itu ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai kesediaan pakar untuk memantau keupayaan HO serta usaha kerajaan dalam menambah perjawatan tetap bagi doktor dan pakar perubatan. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

- Advertisement -