
KUALA LUMPUR: Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) menyatakan kebimbangan dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap keselamatan digital semakin terhakis akibat kebocoran maklumat dan jenayah siber.
Justeru, beliau meminta penjelasan mengenai langkah kementerian dalam menilai dan menambah baik kawal selia serta undang-undang keselamatan digital yang mungkin sudah lapuk.
“Sejauh mana tindakan kementerian dalam menilai dan menambah baik sistem sedia ada, serta apakah kekerapan undang-undang perlu diubah untuk menangani isu ini?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fathul Huzir juga bertanya sama ada negara kita mempunyai bilangan pakar yang mencukupi untuk menangani ancaman siber yang semakin kompleks.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementerian memberi perhatian serius terhadap penambahbaikan sistem keselamatan digital.
“Kita perlu menilai dan menambah baik perisian kawal selia dan undang-undang keselamatan digital.
“Ini penting kerana perkembangan pesat teknologi seperti AI memerlukan perhatian terhadap penggunaan data yang lebih meluas,” katanya.
Dalam soalan asal, Fathul Huzir meminta Menteri Digital menjelaskan mengenai cadangan untuk mewujudkan Suruhanjaya Data dan bagaimana ia dapat memperkukuh fungsi Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dalam pemeliharaan privasi data untuk mengurangkan insiden kebocoran maklumat peribadi serta membendung ketirisan data peribadi yang berkait rapat dengan jenayah scam. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











