Palestin: Tarik balik terima penyelesaian dua negara – Afnan

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar), menggesa Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, menarik balik cadangan menyokong penyelesaian dua negara (Two-State Solution) dalam konflik Palestin-Israel. 

- Advertisement -

Beliau menyatakan ketidaksetujuannya terhadap kenyataan Menteri Luar yang menyebut Malaysia ‘tidak ada pilihan lain’ selain menerima penyelesaian tersebut.

Menurutnya, menerima konsep itu secara tidak langsung bermakna mengiktiraf kewujudan Israel, sesuatu yang bertentangan dengan dasar Malaysia selama ini. 

“Apabila disebut penyelesaian dua negara sudah tentulah, satu Palestin, satu lagi Israel.

“Kalaulah kita memaksa negara ini dan dunia menerima penyelesaian dua negara inilah penyelesaian yang dikehendaki yang dimahukan oleh Israel dan oleh musuh-musuh yang memusuhi Palestin.

“Ini suatu muslihat politik. Kita tidak sepatutnya menyebutkan kita mesti menerima two state solution,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sebagai alternatif, beliau mencadangkan agar Malaysia hanya menerima pakai penyelesaian satu negara (One-State Solution) dengan mengiktiraf Palestin sepenuhnya, tanpa sebarang pengiktirafan terhadap Israel. 

“Israel tidak akan pernah diiktiraf dalam mana-mana dunia yang moden pada hari ini. Kalau tidak kenapa letak dalam pasport kita ini dibenarkan, digunakan untuk semua negara kecuali Israel.

“Tidak ada maknanya ditulis di pasport, tidak menyokong Israel, tapi kita menyebut kita menerima two state solution. Paling kurang pun jangan sebut kita menerima two state solution,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa penerimaan penyelesaian dua negara seolah-olah menghalalkan kezaliman yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin. 

“Apakah bermakna kita mahu menghalalkan segala kekejaman-kezaliman yang mereka lakukan kepada rakyat Palestin. Sudah tentu tidak. Dewan ini bersetuju tidak. Perdana Menteri telah menegaskan itu pendirian kerajaan.

“Maka saya cadangkan tidak patut disebut bahkan patut ditarik balik Malaysia menerima penyelesaian dua negara,” katanya.

Sementara itu, Afnan turut mengkritik pihak yang menggesa kempen boikot terhadap produk berkaitan Israel dihentikan atas alasan keadaan di Gaza telah kembali aman. 

“Saya nak memberi amaran, belum pernah ada dalam sejarah Israel menepati janji-janji yang dibuat. Dia berjanji untuk memberi keamanan kepada Palestin. Sejarah itu belum dapat dibuktikan lagi.

“Maka serentak dengan itu, mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan Israel yang jelas, mesti terus diboikot kerana ianya berhasil telah memberi kesan,” katanya. 

Beliau turut menegur golongan tertentu yang dikatakan cuba menekan dan mengugut pihak yang masih berpegang kepada kempen boikot. 

“Saya memberi amaran kepada tauke-tauke ini jangan mengugut kami, jangan mengugut pendirian kami, jangan merobek pegangan kami yang telah kami pegang selama ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025

- Advertisement -