
KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) membangkitkan persoalan mengenai syarat ketat kelulusan sijil amalan guaman (CLP) yang dianggap menyukarkan graduan undang-undang, terutamanya mereka yang lulus dengan cemerlang di peringkat ijazah pertama.
“Saya dapati syarat-syarat CLP terlalu ketat, sedangkan graduan undang-undang itu sudah pun lulus di peringkat ijazah pertama dengan cemerlang.
“Adakah kerajaan bercadang untuk sekadar menguji kefahaman mereka tentang kandungan Perlembagaan Persekutuan, akta-akta yang berkaitan dengan kes-kes mahkamah?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ini susulan penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Kulasegaran Murugeson mengenai status reformasi CLP semasa menjawab soalan asal Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai status reformasi CLP bagi graduan luar negara dan cadangan kerajaan untuk penambahbaikan sistem ini, serta tahap penerimaan pembaharuan oleh pihak berkepentingan dalam industri perundangan.
Abd Ghani juga menyentuh tentang batasan percubaan yang membenarkan hanya empat percubaan untuk lulus, di mana kegagalan selepas itu menyebabkan calon disekat secara kekal daripada mengambil peperiksaan CLP, sekali gus mengakhiri harapan mereka untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.
“Apakah punca utama kegagalan terhadap graduan dalam CLP sehingga mereka tidak boleh atau tidak berpeluang menjadi seorang peguam bela atau peguam syarak?” tanya beliau yang juga seorang peguam.
Menjawab persoalan itu, Kulasegaran menjelaskan bahawa perbezaan antara kelayakan akademik dan profesional adalah faktor utama dalam kegagalan graduan.
“Profesional itu ketat dan memerlukan latihan praktikal, termasuk advokasi dan sains forensik, yang tidak semestinya diperoleh hanya dengan kelulusan akademik,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











