
ARAU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis bersama Pusat Koreksional Negeri Perlis telah membuka peluang baharu kepada banduan untuk menceburi bidang keusahawanan selepas dibebaskan.
Inisiatif melalui projek ‘Halia Di Penjara: Biar Benih Jadi Jasa & Kenangan’ itu bermula sejak September 2024 melibatkan 12 banduan lelaki yang menjalani latihan pertanian dan keusahawanan selama lima bulan.
Ini sebelum mereka dipantau dalam fasa seterusnya selama enam bulan di bawah Athanliz Innovations Sdn Bhd (AISB), syarikat pemula UiTM Perlis.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof Madya Dr Ahmad Nizan Mat Noor berkata, pendekatan sistem Mentorship dengan bimbingan enam usahawan menjadi tunjang kejayaan ini.
“Peserta diajar kemahiran asas perniagaan, pemasaran digital, pembuatan dan pembungkusan produk, serta bengkel pemadanan perniagaan.
“Ini bagi memastikan mereka mampu berdikari apabila kembali ke masyarakat,” katanya, di sini semalam.

Majlis Penutup Projek dan Penyerahan Sijil kepada peserta berlangsung di Pusat Koreksional Perlis dengan kehadiran Pengarah Pusat Koreksional Perlis, PKP Mohd Sabri Md Arshad serta Pengarah Urusan AISB, Dr Athifah Najwani Shahidan.
Menurut Dr Athifah, hasil tuaian halia sebanyak 700 kilogram dijangka pada April depan akan dikomersialkan dalam bentuk empat produk utama iaitu Bam Urut Aromaterapi Halia, Minyak Rambut Halia, Gummy Halia, dan Serbuk Jus Halia.
“Kami menyasarkan pengeluaran 500 unit setiap produk bagi kumpulan pertama, dengan strategi pemasaran melibatkan Pusat Koreksional Perlis, Kafe Ar-Rehlah AISB, platform digital, serta pasar tani di Negeri Perlis,” jelasnya.

Selain kemahiran pertanian, peserta juga diberi latihan komunikasi dan teknik pemasaran menggunakan media sosial bagi meningkatkan kebolehpasaran produk mereka.
Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kedua kepada banduan malah membuktikan potensi keusahawanan dalam membina kehidupan baharu selepas menjalani hukuman. – HARAKAHDAILY 12/2/2025











