
SEDEKAD ini pelbagai peristiwa telah melanda harakatul ummah ini; sebahagian pimpinan PAS telah keluar parti dengan menubuhkan parti baru untuk menopang kekuatan DAP. Sepuluh tahun ini juga menyaksikan koalisi PN pernah memegang tampuk kuasa di peringkat Pusat, juga keadaan politik semasa yang menyaksikan PAS mempunyai paling ramai Ahli Parlimen dan juga ADUN di seluruh negara.
Almarhum juga tidak sempat melihat keberhasilan doa agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong perjuangan PAS!
Telah sedekad sang maestro dakwah dan siasah yang kita cintai pergi meninggalkan kita dengan seribu keteladanan, menoreh sejarah emas dalam perjuangan Islam di negara ini. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), mantan Mursyidul Am PAS yang kedua, juga mantan Menteri Besar Kelantan yang telah merubah wajah kerajaan Kelantan yang dimenangi oleh PAS melalui koalisi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dalam tahun 1990.
Sosok ini berjaya membumikan dan membudayakan al-Quran dalam masyarakat, bukan sahaja dengan pengajaran tafsir al-Quran, namun berjaya menggalakkan masyarakat Melayu menghafal al-Quran.
Semenjak pulang dari Asia Barat setelah bermukim ilmu yang panjang, Almarhum sangat obses dengan pendidikan Islam. Memecahkan khurafat besar bangsa Melayu, ‘politik suku, agama suku’ melalui kegiatan pendidikan al-Quran yang merakyat ke seluruh sendi masyarakat.
Pantas memecut dan tanpa lelah, Almarhum terus menceburi bidang pendidikan Islam dan bercita-cita untuk membentuk generasi al-Quran di tanah air ini. Kompleks Sekolah Agama Darul Anuar adalah manifestasi keseriusan Almarhum dalam membangun pendidikan al-Quran, juga dengan zuriat beliau yang ditekankan pendidikan al-Quran.
Di mana-mana jua Almarhum diberikan peluang untuk berucap, maka masyarakat pasti diajaknya untuk memahami Islam sebagai cara hidup yang lengkap.
Dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, telah membuka ruang yang luas untuk Almarhum merealisasikan cita-citanya membumikan ajaran Al-Quran.
Almarhum telah memberikan fokus kepada sekolah-sekolah agama di Kelantan, terutamanya maahad tahfiz yang akhirnya berkembang menjadi fenomena negara ini.
Hasrat Almarhum agar Kelantan kekal dengan reputasi sebagai ‘Serambi Makkah’ yang meranum subur dengan ilmu-ilmu pengajian Islam dan al-Quran.
Almarhum tegas dalam mengemudi kerajaan; tidak teragak-agak menegur anggota legislatif yang mempunyai tendensi berubah cara hidup.
Almarhum tidak membina jarak dengan rakyat di mana rakyat mudah menemuinya di Medan Ilmu Kota Bharu, Masjid Pulau Melaka, bahkan terus ke rumahnya untuk acara tahnik anak atau pelbagai hajat lain.
Tiada rekod Almarhum menyimpan simpanan wang sebelum mengadap Ilahi!
Di antara institusi-institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al-Quran.
Di negara ini, kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis-aktivis pendidikan Islam di negara ini.
Negeri Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz al-Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS. Lebih 150 buah sekolah tahfiz telah dibangunkan di Kelantan yang mampu menampung kehadiran santri dari seluruh negara.
Pondok moden kandis ditubuhkan untuk pemberdayaan pengajian kitab turath untuk suatu tempoh masa yang di negara ini, begitu juga Kolej Universiti KIAS yang berkembang pesat.
Paling penting, anak-anak Kelantan mengungguli semua pusat pendidikan dalam dan luar negara, bertolak daripada keteladanan figura dakwah ini yang mahukan rakyat Kelantan menterjemaahkan makna ‘Kelantan Serambi Makkah’.
Almarhum telah meninggalkan kita semua dengan jasa yang besar, menjadi cermin keteladanan yang memantulkan keseimbangan watak siasah, dakwah dan tarbiah. Abnaul harakah PAS wajar melanjuti apa yang almarhum tinggalkan, menggerakkan jihad ta’lim sepenuh hati sehingga kefahaman Islam meratai ke seluruh sektor masyarakat. Menghasilkan para huffaz yang juga sebagai kelompok profesional dan aktivis Islam, bukan sekadar memimpin solat berjemaah tetapi memandu manusia ke arah menegakkan pemerintahan berlandaskan al Quran.
Almarhum Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah sosok yang berkarektor walk the talk; Almarhum paling kuat menegakkan solat, berpuasa, membaca pelbagai jenis genre, menyantuni masyarakat dan berdakwah. Watak sebagai seorang murabbi, bukan semata-mata mengungkapkan kata-kata cerdas namun Almarhum mendahului dengan contoh dan amalan.
Sepanjang pemerintahan Almarhum, Kelantan dikucilkan kerana iltizam Almarhum kepada Islam. Rakyat Kelantan didera kerana menyokong PAS dan meletakkan Almarhum Tuan Guru sebagai pemimpin utama kerajaan negeri jantung hati orang Melayu ini.
Negeri Kelantan menjadi kampus politik terbuka dan negeri yang menjadi tadahan wahyu dengan erti kata lain, merealisasikan suruhan al-Quran dan mencegah kemungkaran dengan bidang kuasa yang dimiliki oleh Tuan Guru dan kerajaan negeri.
Reformasi yang diterajuinya akhirnya banyak dicontohi oleh negeri-negeri lain, malah oleh Kerajaan Persekutuan.
Almarhum menutup pintu maksiat dan kebejatan, memindahkan wang negeri ke dalam akaun Bank Islam, mewujudkan Enakmen Kawalan Hiburan, Enakmen Jenayah Syariah, dan pelbagai perubahan yang selaras dengan kehendak Islam.
Beruntungnya rakyat Tanah Serendah Sekebun Bunga yang lahir selepas 1990; mereka tidak sempat melihat pusat-pusat maksiat seperti ‘Paris Malaya’ yang popular sejak dekad 1930-an lagi di Kota Bharu, tidak pernah melihat pusat-pusat judi, pesta pora hedonisme dan beragam kemungkaran termasuk pesta puja pantai yang bersalut dengan kesyirikan yang berabad lamanya disambut di negeri berbudaya itu.
Kelantan menjadi guru politik yang mencerahkan akal serta membuka jalan kepada perluasan pengaruh PAS di tanah watan ini. Tuan Guru mengadap Ilahi pada 12 Februari 2015 setelah bertarung dengan penyakit yang dialaminya, sehingga ke akhir hayatnya tetap dengan amalan mulianya, solat berjemaah, qiamullail dan membaca al-Quran.
Khabar duka pemergian Almarhum tersebar ke seluruh buana, didoakan di pelbagai negara.
Kelantan menyaksikan solat jenazah paling ramai dalam sejarahnya kerana Almarhum melepasi garis sempadan politik kepartian. Tuan guru adalah milik ummah!
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/2/2025











