Beri ruang polis siasat kes tular ibu pukul anak

- Advertisement -

PADANG BESAR: Semua pihak diminta bertenang dan memberi ruang kepada polis untuk menyelesaikan siasatan berhubung kes seorang ibu yang tular kerana memukul anaknya di koridor sebuah pasar raya di Jejawi, kelmarin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Wan Badariah Wan Saad, menzahirkan rasa simpati terhadap ibu dan anak tersebut serta menasihatkan masyarakat agar tidak cepat menghukum.

“Kak Wan amat bersimpati dengan nasib anak dan ibu tersebut. Akan tetapi, jangan terlalu menghukum dan jaga adab serta tutur kata kita baik di luar atau di media sosial.

“Insya-Allah, Kak Wan dan jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat akan memberi sokongan moral kepada anak dan keluarga mereka. Kak Wan juga menasihatkan agar semua dapat menghormati privasi keluarga mereka,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Terdahulu, seorang wanita berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin telah ditahan di sekitar Mata Ayer selepas tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia menampar anaknya beberapa kali sehingga jatuh dan terkena bucu bangku di hadapan pasar raya tersebut.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 12 pagi semalam.

“Dalam video tular itu, suspek dilihat memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.

“Kejadian disyaki berlaku di hadapan kaki lima pasar raya di Jejawi, Arau, dan suspek akan dibawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berusia empat tahun mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan dan telah menerima rawatan susulan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -