
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), menekankan kepentingan dasar universiti sosial dalam usaha merapatkan jurang kemiskinan dan memupuk minat rakyat Malaysia terhadap sains.
Beliau menyatakan bahawa maklumat mengenai pelaksanaan dasar tersebut sukar diperoleh, khususnya bagi Ahli Parlimen kawasan luar bandar.
“Jika maklumat tidak sampai kepada kami, khususnya Ahli Parlimen di kawasan luar bandar, bagaimana kami dapat membantu menjayakan misi MOSTI? Mohon bantuan dan sokongan Yang Berhormat Timbalan Menteri; bantu kami, kami bantu MOSTI, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal turut mencadangkan agar laman web Yayasan Inovasi Malaysia menyediakan laporan tahunan dan dasar berkaitan untuk rujukan semua pihak.
Beliau berharap dengan kerjasama yang erat antara kementerian dan wakil rakyat, matlamat merakyatkan sains dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOST), Dato’ Mohammad Yusof Apdal dalam jawapannya berkata, Dasar Inovasi Sosial yang dilancarkan pada 16 Disember 2024 bertujuan menyusun usaha kerajaan dalam mengumpul data dan melaporkan inisiatif MOSTI dengan lebih sistematik.
Menurutnya, sebelum ini, usaha sedia ada tidak tersusun kerana cabaran sebenar tidak dikenal pasti dengan jelas.
Tambahnya, dengan dasar itu, kerajaan mempunyai hala tuju yang lebih jelas, dan laporan akan disediakan selepas setahun pelaksanaannya.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) minta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan cabaran utama yang dikenalpasti dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) di peringkat komuniti, terutamanya dalam merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi. – HARAKAHDAILY 12/2/2025











