
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta bagi tahun 2025 untuk Darul Quran (DQ) MAIK.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Mohd Anis Hussein berkata, peruntukan ini meliputi perbelanjaan utiliti, elaun pelajar, pembangunan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar serta program-program pembangunan sahsiah.
“Bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan, MAIK menerusi wang zakat menyediakan bantuan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Antaranya ialah Biasiswa Sultan Ismail Petra MAIK, iaitu tajaan peringkat ijazah pertama di luar negara dalam bidang pengajian Islam bagi pelajar lepasan Darul Quran MAIK.
“Biasiswa ini tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, antaranya memperoleh keputusan akhir peperiksaan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat sekurang-kurangnya PNGK 3.0 dan ke atas,” katanya lagi.
Sehingga Januari 2025, MAIK telah menaja seramai 20 pelajar lepasan Darul Quran MAIK yang menyambung pengajian di Mesir dan Indonesia.
“Pada tahun ini, seramai 32 pelajar semester enam sesi 2022 hingga 2025 berjaya mengkhatam hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh lebih kurang tiga tahun pengajian di Darul Quran MAIK,” ujarnya.
Kesemua mereka diraikan hari ini dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Pelajar Darul Quran MAIK Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji.
Sijil khatam hafazan telah disampaikan Dato’ Mohd Anis dan MAIK turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Hafazan kepada tiga pelajar, iaitu Amirul Aiman Ismail, Muhammad Umar Aqil Zamri dan Muhammad Aidil Mohd Zamri.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 sebagai penghargaan atas kecemerlangan dalam hafazan.
Turut hadir ialah Setiausaha MAIK, Muhamad Rasani Ramli serta Mudir Darul Quran MAIK, Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria. – HARAKAHDAILY 12/2/2025












