
PADANG SERAI: “Siapa kata orang perempuan tak minat sukan bola sepak?” demikian soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.
Cuma ujarnya, kadang-kadang kekangan masa dan sibuk dengan tugasan rutin wanita di rumah, menjadikan ia tidak dapat diberi tumpuan seperti kaum lelaki.
Terdahulu, Dato’ Ashah yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, bersama-sama hadir memeriahkan Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah, di Padang Bola, Sidam Kanan, di sini.
“Seronok juga dapat santai-santai begini, walaupun saya sendiri tak pandai main bola tapi saya ‘enjoy’ tengok mereka bermain,” kata Ketua Muslimat PAS Kedah itu.
Dalam pada itu, beliau berpuas hati melihat semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para pemain, dengan masing-masing mempamerkan kesungguhan untuk merangkul kejayaan.
“Terima kasihlah kepada semua pihak atas kerjasama yang baik untuk menjayakan kejohanan ini.
“Antaranya Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Serai, Pemuda Sidam Kanan, Pengerusi dan ahli jawatankuasa Majlis Ketua Kampung (MKK) Sidam Kanan dan lain-lain,” tambahnya lagi.
Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah di antara kariah masjid sekitar DUN Merbau Pulas itu, disertai sembilan pasukan untuk berentap memenangi Piala YB DUN Merbau Pulas.
Pada pertandingan itu, pasukan Masjid Darul Ulum Merbau Pulas berjaya menjadi juara dan membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM1,000 dan beberapa hadiah iringan yang lain.
Sementara, tempat kedua dimenangi oleh pasukan daripada Masjid Al-Huda, Kilang Lama, diikuti pasukan Masjid As-Sobirin Padang Cina tempat ketiga dan pasukan Masjid Al-Mujahidin Batu Puteh di tempat keempat. – HARAKAHDAILY 12/2/2025












