Dipanggil ke Bukit Aman, Chegubard beri keterangan

CheguBard ketika ditemui di Bukit Aman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung satu hantaran di laman Facebook mengenai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau dilaporkan akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).

“Saya agak terkejut ketika penderhakaan agak jelas berlaku. Contohnya membekalkan Yang di-Pertuan Agong dengan data yang salah sehingga menyebabkan Yang di-Pertuan Agong bertitah dan menyebabkan, kali pertama dalam sejarah titah itu ditertawakan.

“Ternyata maklumat yang salah khususnya dalam status ekonomi kita diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong. Saya nampak ini merupakan satu benda di mana ada pihak yang cuba menghilangkan rasa hormat orang ramai kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.

Sementara itu, peguam yang menemai beliau, Muhammad Rafique Rashid Ali menyeru pihak kerajaan untuk mengurangkan penggunaan Akta Hasutan kepada mana-mana pihak yang dianggap tidak sehaluan dengan mereka.

“Dari segi undang-undang, ia jelas jika sesuatu perkara itu adalah untuk menyatakan kebenaran dan memberi penjelasan, ia tidak salah dari segi undang-undang.

“Saya masih ingat di pentas politik, mereka di pihak kerajaan merupakan pihak yang paling lantang menyuarakan ingin memansuhkan, membatalkan dan membuang terus Akta Hasutan.

“Tetapi jauh lebih dahsyat, tidak buang, tidak mansuh, tidak batal. Malah sebenarnya menyalahgunakan. Kita terus terang katakan bahawa ia merupakan salah guna kuasa oleh mereka-mereka yang berada di puncak kuasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -