Bimbang kesan tarif elektrik naik terhadap rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail, menyuarakan kebimbangan mengenai kesan tidak langsung kenaikan tarif elektrik terhadap rakyat, terutamanya dalam bentuk peningkatan harga barang keperluan.

- Advertisement -

Katanya, walaupun Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan 85 peratus pengguna domestik tidak terjejas oleh kenaikan ini kerana hanya melibatkan sektor industri, namun rakyat tetap akan merasai impaknya melalui kenaikan harga barang.

“Kita harap bil elektrik dikaji semula kerana kenaikan ini sentiasa berlaku dan akan menyukarkan rakyat yang terbeban dengan peningkatan kos lain,” katanya.

Beliau menambah bahawa dalam perbelanjaan keluarga, bil elektrik merupakan salah satu komponen utama selain kos lain seperti bil air, selain kenaikan harga barang baru-baru ini juga dikaitkan dengan peningkatan harga diesel.

“Utiliti adalah keperluan rakyat, dan kos ini ditanggung oleh mereka. Kenaikan harga barang turut memberi kesan kepada peniaga, yang seterusnya terpaksa menjual pada harga baharu kepada pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian ‘Back To School’ di Pusat Khidmat DUN Salor, dekat sini kelmarin.

Saizol mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada rakyat sebagai pampasan bagi menebus kesan kenaikan harga barang sekiranya kenaikan tarif elektrik terpaksa dihadapi.

Dalam perkembangan lain, seramai 150 pelajar dari 20 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor menerima sumbangan baucar RM100 setiap seorang untuk membeli kelengkapan sekolah.

Setiap kampung menyenaraikan tujuh penerima yang layak, selain itu, permohonan juga boleh dibuat secara langsung di pejabat DUN.

Sumbangan ini bertujuan membantu keluarga menyediakan kelengkapan sekolah seperti kasut, beg, dan pakaian seragam, terutama bagi mereka yang mempunyai anak ramai.

“Walaupun sumbangan ini tidak begitu besar, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan bebanan penduduk kampung dalam menyediakan kelengkapan sekolah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kerajaan telah banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, termasuk bantuan kepada pelajar cemerlang di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sementara itu, seorang penerima, Rubiah Mustapha, 43, dari Kampung Beta Hulu, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Saizol Ismail, kerana turut memilih beliau sebagai penerima sumbangan berkenaan.

Suri rumah itu berkata, beliau begitu teruja apabila buat julung kalinya menerima sumbangan daripada kerajaan negeri berupa baucar kelengkapan pakaian sekolah.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban saya ketika musim persekolahan. Apa lagi saya terpaksa siapkan tiga pasang pakaian seragam sekolah anak-anak serentak,” ujarnya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -