R&D: Sejauh mana keberkesanan kolaborasi industri

Mohd Nazri Abu Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mempersoal sejauh mana kerjasama antara sektor industri awam dan swasta mampu mencapai sasaran sumbangan perbelanjaan industri dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga 70 peratus.

- Advertisement -

“Sejauh mana kolobrasi ini termasuk dari segi khidmat nasihat pakar dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan R&D bagi menghasilkan produk-produk inovatif dan berdaya saing sehingga mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa?” soalnya. 

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau turut mempersoalkan peranan Fasiliti Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Nasional (NSFE) dalam memastikan pengurusan peralatan saintifik lebih cekap dan menjimatkan kos.

“Bagaimanakah NSFE memainkan peranan sebagai pusat maklumat berpusat berkaitan kemudahan dan peralatan saintifik yang telah berjaya mengelak pertindihan pembelian peralatan baharu?

“Selain itu, sejauh mana NSFE dapat membantu komuniti STI melaksanakan aktiviti R&D dan pengkomersialan pada kos efektif tanpa perlu membuat perbelanjaan besar untuk pembelian peralatan yang mahal?” soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kerajaan telah menyediakan portal NSFE sebagai platform bagi penyelidik mendapatkan maklumat serta menjalin kolaborasi dengan industri.

“Kita hanya mendapat info daripada industri-industri dan di situ mereka boleh dapat segala maklumat. Di situ juga tempat mereka boleh kolaborasi antara awam dan swasta. Kita ada kerjasama di situ.

“Kita sediakan ini untuk memberikan peluang kepada para penyelidik khususnya supaya mereka ini dapat dibantu dalam penyelidikan mereka dalam masa yang sama tujuan kita untuk kita memastikan bahawa kita dapat membantu pembangunan negara kita ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -