
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi keputusan berhubung kenaikan kadar baharu elaun ‘on call’ petugas kesihatan selepas mesyuarat Jemaah Menteri, Januari lalu.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berkata, seperti yang dimaklumkan dalam sidang bajet yang lalu, dikatakan ada penambahan sebanyak RM55 hingga RM65.
“Kadar baharu ‘on call’ kini sepertimana yang dimaklumkan pada sidang bajet yang lalu dikatakan ada penambahan tetapi pada hari ini saya juga mendapat makluman bahawa perkara ini juga sudah dibincangkan di peringkat jemaah Menteri.
“Saya kira sudah ada keputusan dan saya mengharapkan pihak kerajaan memaklumkan kepada dewan ini apakah keputusan berkaitan penambahan kadar baru elaun ‘on call’ yang telah dibincangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa bahagian doktor kerajaan dalam Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kecewa dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana masih mengelak daripada melaksanakan kenaikan elaun on-call seperti yang dijanjikan untuk doktor.
Bahagian pegawai pelatih, pegawai perubatan, dan pakar perubatan berkata doktor masih menunggu dengan sabar agar elaun mereka dinaikkan seperti yang diumumkan dua kali tahun lalu.
Menurut MMA Schomos, pihaknya masih menunggu elaun on-call yang lebih tinggi, yang diumumkan kali kedua dalam Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, tanpa sebarang perincian tentang pelaksanaannya.
Pengumuman pertama mengenai kenaikan elaun itu dibuat pada Februari tahun lalu.
Ketika itu, Dr Dzulkefly menyarankan supaya bersabar, dengan menyatakan isu tersebut telah dibincangkan dalam Jemaah Menteri dan pengumuman akan dibuat ‘dalam masa terdekat’. – HARAKAHDAILY 12/2/2025











