Sesi pendengaran awam isu insurans, caj hospital swasta 

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) buat kali pertama akan mengadakan sesi pendengaran awam bagi prosiding peningkatan bayaran premium insurans kesihatan/takaful, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia.

- Advertisement -

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sesi itu merupakan platform untuk mendapatkan pandangan semua pihak secara terbuka dan akan dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu sebelum dibentangkan di Parlimen.

Selepas sesi pendengaran awam, katanya PAC akan mengadakan prosiding secara tertutup mengikut Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan MajliS Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi-saksi daripada kalanganb pemegang taruh utama dalam isu ini, iaitu dari kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Sesi berkenaan akan berlangsung di dua lokasi dan tarikh berbeza itu akan turut disertai oleh kementerian dan agensi berkaitan,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini. (Foto atas)

Sebelum ini, sesi pertama dilaporkan akan diadakan di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul Pulau Pinang pada 14 Febuari ini bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Mas Ermieyati berkata, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang juga merupakan ahli PAC akan mengendalikan sesi itu selaku pemudah cara.

Beliau menjemput orang ramai termasuk pengadu terhadap syarikat insurans dan hospital swasta, pemegang polisi insurans, wakil persatuan pengguna, ejen insurans, wakil syarikat insurans, wakil pengurusan hospital swasta, doktor-doktor pakar, wakil pekerja hospital swasta, wakil syarikat farmaseutikal untuk menghadiri sesi itu.

Sementara itu, sesi kedua dijadualkan berlangsung di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Februari ini. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -