‘Selepas tiga tahun baru tersedar dan terjaga!’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri meluluskan bajet RM15 billion semasa pentadbiran beliau bagi melaksanakan 40 projek tebatan banjir di negara ini mempunyai asasnya.

- Advertisement -

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu mengumumkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) merupakan projek mendesak yang memerlukan penyelesaian segera.

Selepas PRU15, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan mampu membuat penjimatan hampir RM2 billion dana melalui semakan semula rundingan terus.

Sehubungan itu pelaksanaan projek tersebut ditangguhkan kerana rundingan terus dilakukan kerajaan sebelum ini dianggap tidak telus dan RTB bukan projek mendesak pada ketika itu.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, namun selepas tiga tahun pemerintahan Kerajaan Madani, projek tersebut diumum akan dilaksana semula.

“Akhirnya terbukti keputusan (Kerajaan PN) waktu itu adalah tepat.. Malangnya selepas hampir tiga tahun baru (Kerajaan Madani) tersedar dan terjaga..!,” demikian nukilan beliau di laman sosial Facebook semalam.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man malah dalam kenyataan kelmarin memberi amaran bahawa kerajaan akan mengalami kerugian besar jika projek tebatan banjir tidak disegerakan.

Beliau berkata, ini terbukti apabila negara ditimpa kerugian akibat bencana itu pada 2023 berjumlah RM775.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata lagi, pembatalan projek tersebut oleh kerajaan hari ini merupakan keputusan kurang matang dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri mengarahkan projek tebatan banjir diberi kelonggaran Perbendaharaan Malaysia agar pelaksanaanya dapat dipercepatkan.

Berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Anwar berkata, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal yang lebih cepat projek tebatan banjir.

Kelantan antara negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir, bahkan pengumuman mengenai tebatan banjir ketika pemerintahan PN memberi sinar kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 12/2/2025

- Advertisement -