Pelajar cemerlang akademik, teguh pegangan agama

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)

- Advertisement -

KUCHING: Pendidikan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi berperanan besar dalam membentuk akidah dan jati diri pelajar sejak kecil, kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

- Advertisement -

Beliau menekankan kepentingan memastikan setiap pelajar yang melalui sistem pendidikan PASTI tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga teguh dalam pegangan Islam mereka.

“Ketika seorang pelumba motor menang nombor satu di Perancis, dia sujud syukur di litar lumba. Naik podium kena simbah arak, dia lari dulu. Siapa dia? Dia alumni PASTI. Boleh jaga akidah sampai berjaya.

“Tetapi adakah semua anak-anak kita mempunyai rezeki sebegitu? Maka tanggungjawab kita adalah memastikan pendidikan PASTI bukan sekadar akademik, tetapi menterjemah akidah kepada anak-anak,” katanya.

Perkara tersebut dinyatakan Khairul Nadzir ketika berucap di Majlis Anugerah Prestasi PASTI Malaysia di Hotel Grand  Margherita, di sini Sabtu lalu.

Beliau turut menyeru agar setiap cawangan dan kawasan PAS memainkan peranan lebih aktif dalam memperkenalkan PASTI kepada masyarakat.

“Dari segi silibus, aktiviti, celoteh murid, kesungguhan muallimah, dan pengurusan, semua ini perlu diceritakan dengan kreatif. Masyarakat perlu tahu bahawa PASTI wujud di kawasan mereka.

“Juga memahami kualiti pendidikan serta kemenjadian murid PASTI apabila memasuki sekolah rendah. Ini sebahagian daripada kerja dakwah PAS melalui pendidikan,” ujarnya.

Menurutnya, jika pendidikan Islam awal ini diperkukuhkan, masyarakat akan lebih yakin dengan PAS sebagai wadah perjuangan Islam dalam politik dan pendidikan.

Majlis Anugerah Prestasi PASTI Malaysia 2024 ini merupakan kali pertama diadakan di Sarawak sebagai penghormatan kepada peranan PASTI di negeri ini. – HARAKAHDAILY 11/2/2025

- Advertisement -