
KUCHING: Kejayaan pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di peringkat antarabangsa membuktikan keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diterapkan sejak usia muda, kata Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol.
Ujarnya, pencapaian seperti ini adalah hasil daripada sistem pendidikan berkualiti yang diasaskan dengan nilai Islam dan diterapkan dalam kurikulum PASTI.
“Kita dapat lihat hasilnya apabila pelajar PASTI tidak hanya cemerlang di peringkat tempatan, tetapi juga di persada dunia. Antara buktinya, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al Hakim, 6, pelajar PASTI Al-Furqan, Chendering, Kuala Terengganu.
“Dia telah dinobatkan sebagai Juara Dunia dalam Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Kanak-kanak dan Belia Antarabangsa Kali Ke-63 pada 11 Januari lalu.
“Di usia yang masih muda, beliau berjaya menewaskan 25 peserta dari enam negara lain dengan kepetahannya bersajak,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Prestasi PASTI Malaysia di Hotel Grand Margherita, di sini Sabtu lalu.
Selain itu, PASTI turut mencatat sejarah apabila berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records bagi penyertaan sesi Hafazan Al-Quran teramai dalam kategori pra-sekolah.
Damanhuri menambah bahawa kejayaan ini selari dengan pendekatan Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) yang menilai pelajar berdasarkan enam kriteria utama iaitu celik Al-Quran, celik bahasa, celik sahsiah, celik minda, celik cerdas, dan celik akademik.
“Alhamdulillah, sistem ini telah menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi pelajar dan kita berikan anugerah Mumtaz kepada mereka yang mencapai lima celik ini,” katanya.
Beliau yakin dengan kesinambungan usaha berterusan, PASTI akan terus melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











