
KANGAR: Nur Alhana Baharuddin dari PASTI Smart Aulad Anak Cilik dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Khidmat Cemerlang PASTI Negeri Perlis dalam Majlis Anugerah Prestasi PASTI Malaysia 2024 yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada Sabtu lalu.
Penghargaan ini merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan dedikasi beliau dalam mendidik anak-anak PASTI dengan penuh komitmen dan kasih sayang setelah memulakan karier sebagai guru PASTI sejak tahun 2007 dan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi sehingga kini.
Beliau dikenali sebagai pendidik yang gigih, sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam membimbing anak-anak mengenal Allah dan Rasul, membaca al-Quran serta membentuk akhlak mulia dalam kalangan generasi muda.
Selain beliau, Wan Nur Afeeya Ammara Wan Mohd Nooriman, 6, menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Murid PASTI Negeri Perlis, manakala Noor Baizura Ahmad dianugerahkan Anugerah Jurulatih Utama (JU) PASTI Negeri Perlis.
Pengarah PASTI Negeri, Abdul Hadi Halipah berkata, anugerah tersebut menjadi bukti komitmen guru dalam mendidik pelajar PASTI dan bukti kecemerlangan PASTI Negeri Perlis dalam melahirkan pendidik dan pelajar cemerlang.
“Warga PASTI Perlis berharap kejayaan ini akan terus menyuntik semangat untuk memperkasakan pendidikan Islam dalam kalangan generasi akan datang,” katanya kepada Harakahdaily, di sini semalam.
Tambahnya lagi, kejayaan ini merupakan hasil daripada kerjasama yang erat antara pihak pengurusan, guru-guru, dan ibu bapa dalam memastikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.
“Ia juga mencerminkan usaha gigih dalam membentuk generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam akhlak dan moral yang baik.
“Kami di PASTI Negeri Perlis amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap agar lebih banyak pendidik dan murid yang akan mengikuti jejak langkah mereka.
“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada warga PASTI, tetapi juga menunjukkan bahawa usaha keras dan komitmen dalam mendidik anak-anak bangsa akan menghasilkan hasil yang gemilang.
“Kami akan terus berusaha untuk memajukan pendidikan Islam di negeri ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











