
LAHORE: Hubungan erat antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Jamaat-e-Islami Pakistan terus diperkukuhkan melalui pertemuan rasmi kedua pihak yang berlangsung di Markas Jamaat-e-Islami Pakistan, Mansoora, di sini kelmarin.
Delegasi PAS diketuai Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar Diraja Dato’ (Dr) Mohd Amar Nik Abdullah telah disambut mesra oleh Naib Amir Jamaat-e-Islami Pakistan, Dr Atta-ur-Rahman dan Setiausaha Agung, Amir-ul-Azim serta pimpinan pusat gerakan Islam tersebut.
Menariknya, Dr Atta-ur-Rahman pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Dato’ Mohd Amar suatu ketika dahulu, dan beliau juga merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai isu semasa, termasuk perkembangan politik setempat dan antarabangsa serta situasi terkini di bumi Palestin.

Hubungan erat antara dua gerakan Islam ini yang telah terjalin sekian lama turut diharap oleh delegasi PAS dan pimpinan Jamaat-e-Islami Pakistan agar terus subur dalam memperjuangkan Islam dan kepentingan umat sejagat.
Turut bersama dalam delegasi ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dan Bendahari PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Terengganu, Ustaz Ahmad Shah Muhammad.
Kedua pihak juga berharap hubungan ini terus kukuh dan memberi manfaat kepada perjuangan Islam di peringkat antarabangsa. – HARAKAHDAILY 11/2/2025












