
REMBAU: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menegaskan bahawa ketiadaan peruntukan bukan alasan untuk wakil rakyat mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, bahawa perkhidmatan pusat khidmat wakil rakyat akan tetap diusahakan walaupun menghadapi kekangan kewangan disebabkan penafian peruntukan.
“InsyaAlllah kami cuba buat yang terbaik dalam kapasiti yang ada. Mungkin orang kata elaun YB (Yang Berhormat) dah ada, guna yang itulah. Memang dah guna dah tu.
“Elaun yang ada untuk saguhati staf pusat khidmat, parti, sewa pejabat pusat khidmat, ziarah orang sakit, orang meninggal, kit makanan kepada asnaf dan bantuan yang dipohon oleh sekolah, PIBG, NGO dan lain-lain.
“Sebagai Ahli Parlimen kawasan lagi luas. Jenazah setiap hari ada. Kadang-kadang sampai 5 jenazah. Kalau RM50 satu jenazah, cuba hitunglah tengok.
“YB yang isteri bekerja bolehlah tahan, rumah, kereta dan keperluan rumah dibantu oleh isteri. Ini cakap atas pengalaman,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya semalam.
Idris turut berkongsi pengalaman peribadi di mana beliau pernah menjual durian di Kuala Lumpur bagi mencari dana membantu rakyat semasa musim durian.
“Sekarang musim budak masuk sekolah, tidak ada peruntukan pun kena usaha jugalah. Sama ada pinjam dulu atau sebagainya, apa yang penting beri sedikit tanda ingat (kepada mereka), banyak tanda ada,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang juga memerlukan persiapan kewangan yang rapi.
‘Amanah parti dan maruah parti’
Menurut Idris, menjadi wakil rakyat bukan sekadar jawatan, tetapi amanah yang harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Kalau jadi wakil rakyat, buat tak peduli rakyat tak apalah. Kami bukan ditarbiyah macam itu. Ini amanah parti dan maruah parti. Hanya mereka yang faham sahaja yang faham,” katanya dengan tegas.
Beliau turut berkongsi mengenai kehadirannya dalam majlis makan malam kutipan dana PAS Kawasan Rembau, khususnya bagi DUN Paroi diwakili oleh ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan, yang berlangsung baru-baru ini.
Menurutnya, majlis yang dihadiri oleh 400 tetamu itu turut disertai beberapa pemimpin PAS, termasuk Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.
Juga ADUN Serting, Ustaz Fairuz Isa; ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker; ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan wakil DHPP.
Idris menegaskan bahawa prinsip ‘tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua’ menjadi pegangan PAS dalam menjalankan amanah kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











