
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cara pemikiran Kerajaan Madani sebagai pelik dan tidak konsisten dalam membuat keputusan berkaitan projek tebatan banjir (PTB).
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu adalah sebuah kerajaan yang berfikiran jauh dan mendahului kepentingan rakyat dengan merancang serta melaksanakan 40 projek tebatan banjir di seluruh negara.
Projek tersebut menurutnya, menggunakan peruntukan ‘off-budget’ RM15 bilion seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau menyatakan rasa hairan terhadap keputusan Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang pada 6 Disember 2022 mengarahkan pembatalan serta-merta beberapa kelulusan akhir, termasuk PTB bernilai RM7 bilion.
“Peliknya PMX apabila hari ini mengarahkan Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan yang diperlukan, selepas beliau sebelum ini membatalkan projek tersebut.
“Adalah suatu yang menghairankan atas alasan apakah justifikasi beliau bahawa akan berlaku penjimatan RM2 bilion selepas enam projek tebatan banjir ditamatkan.
“Saya tertanya-tanya bagaimanakah PMX boleh membuat kesimpulan yang kurang matang berkenaan penjimatan sedangkan projek-projek ini belum lagi bermula ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerugian besar akibat penangguhan projek
Timbalan Presiden PAS itu turut mengingatkan pada masa itu bahawa negara akan mengalami kerugian lebih besar jika projek tebatan banjir yang diluluskan ketika beliau menjadi Menteri KASA ditunda.
“Hari ini terbukti telahan saya benar apabila kita dilaporkan, negara mengalami nilai kerugian akibat banjir pada tahun 2023 berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.
“Termasuklah kerugian industri pertanian sebanyak RM120.6 juta. Sudahlah beras tempatan pun susah untuk didapati di pasaran, pengeluaran hasil padi pula terjejas dengan bencana banjir.
“Malahan, yang terbaru, banjir di Sabah dan Sarawak menambahkan lagi penderitaan rakyat selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu alami banjir yang buruk pada akhir tahun 2024,” katanya.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu menyindir keputusan kerajaan yang hanya kini menyedari pentingnya projek tebatan banjir selepas tiga tahun menangguhkannya.
“Peliknya cara berfikir PMX, selepas terlewat tiga tahun, kini baru tersedar betapa pentingnya projek tebatan banjir yang beliau batalkan dahulu.
“Jika beliau tersedar dari awal, tak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sampai ke tengah malam seperti yang dilaporkan akhbar hari ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











