
MARAN: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa parti itu menolak rasuah secara ‘total’ dan menyeru kerajaan memberikan keadilan setara dalam menangani kes berprofil tinggi tanpa mengira individu atau parti politik terlibat.
Beliau menyuarakan rasa kecewa dengan sikap kerajaan yang melengah-lengahkan tindakan terhadap kes rasuah melibatkan tokoh-tokoh tertentu, berbeza dengan tindakan pantas apabila kes melibatkan pemimpin Perikatan Nasional.
“Bila melibatkan calon kita, tokoh kita, cepat saja ambil tindakan. Bila kena pada BN, bila kena pada PH, dilengah-lengahkan tindakan. Kes saya dengan (Datuk Seri) Rafizi, (Ramli) saya saman Rafizi sebab dia fitnah saya masa itu.
“Sampai sekarang tak selesai lagi. Dua tahun dah. Dia fitnah dekat musim-musim kempen pilihan raya. Dia tuduh saya runding nak luluskan projek RM2 bilion setelah Parlimen bubar. Mana ada. Masih tak selesai dan banyak kes. Banding dengan kes (Dr Siti) Mastura (Muhammad). Terus kena RM830,000.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin, RM1.3 juta. Kena terus. Kita minta supaya keadilan diberi prioriti,” katanya dalam ceramah di Markaz Al-Khidmat PAS Kawasan Maran, Taman Embun Mutiara, Kampung Awah, di sini malam kelmarin.
Kritik lawatan Perdana Menteri ke luar negara
Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu turut mengkritik lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke luar negara yang dianggap tidak memberi pulangan setimpal kepada negara.
“Perdana Menteri ini suka berjalan, terbang sana sini. Habis segala benua kecuali Antartika dan Kutub Utara. Berapa juta dihabiskan? Banyak mana pulangan hasil lawatan itu? Kalau jutaan ringgit itu digunakan untuk bantu rakyat, pasti lebih banyak manfaatnya,” katanya.
Beliau mengakui bahawa lawatan untuk menarik pelabur adalah penting, tetapi menegaskan bahawa prioriti harus diberikan kepada penyelesaian isu dalam negara yang masih banyak belum selesai.
“Bila kita saya duduk dalam kabinet dulu, memang banyak dapat jemputan negara-negara luar. Tapi kita tengok prioritilah. Takkan semua jemputan, kita nak rai? Kita tengok prioriti keutamaan. Masalah besar dalam negara masih belum selesa,” ujarnya.
Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang DUN Pahang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyatakan kebimbangan terhadap hubungan antara kaum yang semakin kritikal.
“Kita mula tengok bagaimana satu demi satu benda-benda yang sebelum tak pernah berlaku makin hari makin longgar makin longgar. Kelemahan pada kita.
”Kenapa? Sebab kita berpecah. Kita tidak bersatu,” katanya merujuk supaya Umno, Bersatu dan PAS supaya bersatu. – HARAKAHDAILY 11/2/2025











